Saturday, November 13

Mintak Seringgit...

Ketika kami hampir menghabiskan hidangan makan malam nasi putih, ikan bawal goreng panas, kepak dan peha ayam goreng beserta ulaman dan sambal belacan di sebuah kedai makan, kami dikejutkan oleh satu suara,

"Mintak seringgit..."

Kami menoleh.  Kelihatan seorang wanita, agak-agak saya sekitar 20 atau 30an, dengan bercekak rambut, anting-anting dan rantai perak, berbaju dan berskit pendek berdiri di tepi meja kami.

"Nak buat apa?"

"Makan...", jawabnya pendek.

"Kalau nak makan, order apa nak makan, kami bayar", saya menjawab

Kami terus memanggil pelayan kedai sambil memesan satu set ikan bawal untuk wanita itu. 

"Ikan keli bang.  RM5 saja", wanita itu menjawab.

Saya dan suami berpandangan dan tersenyum.

"Ok, bagi ikan keli set pada dia.  Saya bayar," jawab suami kepada pelayan itu.

"Tak palah, bagilah dia nak makan ikan keli", kata suami

Agaknya dia sudah biasa di situ.

Dalam perjalanan balik ke rumah, kami membincangkan tentang hal itu.  Kami tidak ingin memberikan duit kepadanya kerana tidak tahu dia akan berbuat apa dengan duit itu.  Jika dia benar-benar kelaparan, biarlah kami sediakan makanan kepadanya, sekurang-kurangnya tahu dia benar-benar ingin makan.

Ada beberapa kes sebegini jika makan di kedai makan.  Abang ipar juga  pernah bercerita begitu.  Ada ketika lelaki muda belia datang kepadanya meminta duit, katanya lapar.  Abang ipar menyuruh lelaki itu mengambil makanan yang dikehendaki, tetapi lelaki itu berdalih.  Hmmm... sah-sah dia tidak lapar, tetapi memerlukan duit untuk kegunaan lain.  

Sekurang-kurangnya wanita ini (nampak seperti kurang akalnya) benar-benar lapar.  Ketika kami ke kaunter bayaran, kelihatan dia benar-benar menikmati makanannya. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin