Sunday, November 30

Ilmu

Kagum dengan ilmu yang ditunjukkan oleh orang Jepun. Mereka begitu bersungguh-sungguh mencipta sesuatu rekaan dan menambahbaik setiap rekaan mereka. Bayangkanlah sejak tahun 2000 mereka mencipta Asimo dan sehingga kini, mereka menambahbaik robot yang hampir menyerupai manusia dari segi pergerakan.

Sabtu lepas, untuk menghiburkan anak-anak, kami bawa mereka menyaksikan pertunjukan Asimo di Queensbay Mall. Ramai juga pengunjung, tapi Alhamdulillah, berkesempatan berada berdekatan pentas pertunjukan supaya kakak mendapat pemandangan yang lebih jelas. Adik ketakutan...tidak mahu mendekati kerana takut robot itu memegangnya...hehehehe. Nampaknya kakak terhibur dengan aksi-aksi yang ditunjukkan oleh Asimo tersebut.

adik takut-takut untuk bergambar berhampiran streamer Asimo


Bagi saya, ilmu itu tiada kesudahannya, selagi kita memburu dan mencari, selagi itu terasa diri ini semakin kerdil dengan ilmu Allah.
Align Center

Saturday, November 29

Untuk Kesenangan Kita

Kadangkala kita merungut apabila mengalami kesesakan akibat dari pembinaan dan sebagainya, termasuk saya..hehehehe. Tetapi bila difikirkan semula rasionalnya, ini semua adalah untuk kemudahan kita juga kan...semoga kita menjadi pemandu yang bersabar dengan kerenah-kerenah di jalanraya, jangan jadi pembuli jalanraya ya. Sudah lama tidak melewati jambatan PP, laluan ketiga hala ke Pulau rupanya sudah hampir siap.

Wednesday, November 26

Tips

Petikan dari La Tahzan - Jangan bersedih.

Yakinlah akan ketetapan Qadha'

Seorang pesakit bertanya kepada seorang doktor psikoterapi tentang kegelisahan hidup. Doktor muslim tersebut berkata kepada pesakit tadi: "Ketahuilah bahawa Allah s.w.t telah menciptakan makhluk dan mengurusnya. Tidak ada satu gerakan atau desahan nafas pun kecuali dengan izin Allah. Jika demikian, mengapa harus risau dan gelisah? Sungguh Allah telah menuliskan taqdir setiap makhluk 50 ribu tahun sebelum Dia menciptakannya."

Al-Mutanabbi memberi pandangannya tentang hal ini:
Di mata yang berjiwa kerdil
persoalan kecil terasa besar
Di mata orang yang berjiwa besar
persoalan besar terasa kecil

Wednesday, November 19

Selawat

Saya salin dari sini:

Berselawatlah kerna
ia mengamankan
hari ini juga hari depan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia menyelamatkan
di hari insan ketakutan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia cahaya gemilang
sirna kegelapan kelam

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia merungkaikan kekusutan
meringan segala beban

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia menyuburkan yang gersang
menghangatkan kedinginan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia bukti cinta
Berselawatlah nescaya
tidak ada yang kecewa
Berselawatlah kerna
dengannya pasti bahagia

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah
moga dengannya Baginda tidak lupakan kita
moga dengannya beroleh Syafa'at 'Uzma
moga dengannya akan damai di sana
moga dengannya kita ummat bahagia

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Wahai Rasulku, tolonglah jangan lupakan aku, berilah syafaatmu kepadaku...
Insya Allah, akan ku lakukan... (Mafhum hadith Tirmidhi)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Tapi ya Rasul, bagaimana aku dapat bertemu denganmu di saat hiruk pikuk begitu?
Carilah aku, kerna aku hanya berada di tiga tempat, tidak selainnya. Itulah:
"Sirat (titian), Mizan (timbangan), telagaku (haud)" (mafhum hadith Tirmidhi)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Saat semua manusia berkata nafsi-nafsi
Baginda tetap melantunkan ummati-ummati

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

"Pergilah kepada Nabi Nuh", kata Adam
"Pergilah kepada Nabi Ibrahim", kata Nuh
"Pergilah kepada Nabi Musa", kata Ibrahim
"Pergilah kepada Nabi Isa", kata Musa
"Pergilah kepada Nabi Muhammad", kata Isa

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Seraya mendengar pengaduan ummat
lantas Baginda menuju arasy
tersungkur sujud di kakinya...lama amat
tangis penuh harap
sarat beban kesulitan ummat
seketika disingkap hijab-hijab
ditajalli sifat-sifat al-Rahman
mengkagumkan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu yang mulia itu
pintalah apa sahaja, pasti Ku beri
pohonlah apa jua, akan Aku penuhi
"Ummatku Ya Allah, Ummatku Ya Allah" (mafhum hadith Syufa'ah, Bukhari dan Muslim)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna dalamnya terkandung cinta
Cintakan Allah dan RasulNya.

Rujukan: Bediuzzaman Said Nursi: Anwar al-Haqiqah, Luma'at 4, Luma'at 11.
VCD Habib Umar ben Hafiz tentang kelebihan Ummat Muhammad saw
VCD Habib Ali al-Jufri tentang kewafatan Rasulullah saw
Al-Qaradhawi, al-Sunnah Masdaran lil Ma'rifah wal Hadharah.

albazrah, Jumaat 22 Disember 2006.

Tuesday, November 18

Tol

Baru mendapat perkhabaran tentang diskaun yang akan diberikan oleh PLUS dan ELITE. Diskaun diberikan untuk pengguna dari jam 12.00 tghmalam - 7.00 pagi bermula Januari 2009. Pada pandangan saya yang tidak seberapa ini, diskaun sepatutnya diberikan kepada pengguna yang menggunakan Touch n Go kerana pengguna sudah mendahulukan wang untuk menggunakan lebuhraya tersebut. Mungkinkah nanti akan dipertimbangkan? Harap-harapnya begitu.

Sunday, November 16

Graduasi

Alhamdulillah, selesai sudah majlis graduasi kakak Sabtu lepas. Kakak sangat teruja dengan majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh abah, tok, sepupu rapatnya, Izzati serta adik. Agak malang, sewaktu persembahan, kelibat kakak sukar dirakamkan oleh lensa kamera saya kerana kakak berada di barisan belakang (kerana dia agak besar berbanding rakan-rakannya yang sebaya).


2 hadiah tempat pertama dirangkul kakak untuk sesi akademik serta fardu ain

di belakang pentas ketika bersiap sedia untuk mengambil sijil

barisan para graduan kecil...

hadiah pelajaran


Ini hanyalah permulaan bagi satu perjalanan yang panjang. Umi serta abah doakan semoga kakak cemerlang di dunia dan akhirat.

Saturday, November 15

Rai

tersenyum di pagi hari terakhir persekolahan tadika

Sempena meraikan kejayaan kakak memperolehi keputusan yang cemerlang di dalam pelajaran tadikanya, kami membawa kakak ke restoren western kegemarannya semalam selepas pulang dari tadika. Menu kegemaran kakak, "sup putih" (sup cendawan)... berselera dia menghabiskan sepinggan sup itu.

menu kakak dan adik... "fish n chips"

menu abah dan umi "barbeque chicken"

Gambar-gambar kurang memuaskan kerana gambar dari kamera telefon bimbit saja.

Thursday, November 13

Jika ada rezeki...

Begitulah ketentuanNya...jika ada rezeki, tidak ke mana. Hari Selasa, saya mengirimkan buku TDMHE kepada kakak saya di Selangor melalui pos laju. Pos laju sudah ditutup pada jam 4, bermakna, penghantaran hanya akan dibuat pada hari Rabu apabila ianya dibuka semula.

Tengahari tadi, saya mendapat SMS dari kakak saya, mengatakan alamat syarikatnya tidak lengkap, namun, Alhamdulillah, posmen yang baik hati itu mengenali syarikatnya kerana sebelum ini pernah membuat penghantaran di situ. Sampai juga ke tangan kakak saya.... syukur ya Allah...

Wednesday, November 12

Tak kisahlah...

Inilah buku rekod yang telah diberikan oleh guru taska adik semalam.


Dapat nombor....


Tak kisahlah adik kan... adik kan baru 3 tahun... hehehe. Kelakar memikirkan adik juga menduduki peperiksaan akhir.

Tuesday, November 11

Intipati TDMHE

Saya membaca Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok dengan perasaan yang bercampur-baur. Sukar digambarkan dengan kata-kata, namun ianya terasa meresap halus ke dalam sanubari. Benarlah bagai dikata, membaca buku ini seakan melihat ke dalam diri kita sendiri. Terasa malu dan hinanya aku ya Allah.

Antara intipati yang dapat saya nukilkan di sini:

1. Berdoa, berdoa dan berdoa, kerana doa merupakan senjata orang-orang mukmin.

2. Beramallah dengan amalan kecil tetapi secara istiqamah.

3. Jangan memandang rendah kepada mereka yang buruk akhlaknya sebaliknya, berdoalah agar mereka mendapat hidayah.

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memperkecilkan-kecilkan kaum lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diejek tersebut) lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan jangan pula wanita mengejek wanita lain, kerana boleh jadi mereka (yang diejek) adalah lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk selepas iman. Sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” - Al-Hujuraat : 11

Peringatan untuk diri sendiri yang selalu terlalai.

Monday, November 10

Ini lah kegembiraannya

Saya sudah mendapat kiriman buku Prof. Kamil yang terbaru, Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok. Sebenarnya, cop "mohor" terimanya pada 31/10 (Jumaat) lagi (bermakna saya antara yang terawal mendapat kiriman ini)... tetapi disebabkan minggu lepas saya tidak masuk ke pejabat dek kerana anak-anak tidak sihat, saya terlepas "menikmati" coretannya seawal mungkin.


Hari ini tidak sabar-sabar untuk menatap buah tangan dari Prof. ini. Saya sungguh gembira, bangga dan terharu kerana Prof. ini begitu gigih menandatangi setiap buku-buku yang dikirimkan. Bukan saja tandatangan, namun sedikit coretan dititipkan bersama. Bayangkanlah berapa ratus naskah yang perlu ditulis. Bilalah saya dapat menjadi seperti beliau? Semoga kehidupan Prof. Kamil sekeluarga sentiasa mendapat keberkatan dariNya.

naskah saya

naskah yang masih tidak bernama....

Tiada Masalah

Hobi saya... hobi? Melihat anak-anak tidur. Tenang hati ini melihat kejernihan wajah mereka. Walaupun senakal mana mereka, ketika tidur itu, hilang semua kenakalan, yang ada, hanyalah ketenangan.


Gembira

Saya gembira hari ini. Kenapa? Nanti saya beritahu..

Thursday, November 6

Kasihan Kakak

Semalam sewaktu sampai ke rumah, kakak pula muntah, terkena karpet dan lantai. Abahnya belum sampai ke rumah. Dengan adik yang menjerit-jerit minta dilayan serta kakak di dalam bilik air kerana muntah, saya keletihan. Saya terus mencuci lantai yang berselerak dengan tompokan muntah dengan iringan background music yang membingitkan telinga. Aduh...kurniakanlah kesabaran kepada HambaMu ini ya Allah.

Malamnya, sekali lagi ke klinik. Kali ini klinik yang berlainan kerana adik masih belum sembuh dari cirit-biritnya dan muntah. Klinik Best*ri berhampiran rumah mempunyai doktor pakar kanak-kanak, tetapi saya tidak pasti adakah doktor itu bertugas pada waktu itu. Kami ke situ saja. Ramainya orang yang menunggu giliran, kami selesai berurusan sejam kemudian. Mujur anak-anak tidak meragam tetapi tidak senang duduk, sekejap duduk, sekejap baring. Kakak, sampai di klinik, ketika urusan pendaftaran, terpaksa berkejar ke bilik air kerana ingin muntah.





Bagi para ibubapa, berhati-hatilah ketika makan di luar, sekarang ini, musim cirit-birit agaknya.

Cuti-cuti Malaysia

Semalam sewaktu memandu, sambil melayan radio IKIM, terdengar rancangan bual-bicara pakar motivasi Alihan Pelajar yang terkenal, Tengku Asmadi bercerita tentang program cuti sekolah. Sebagai ibubapa, seharusnya kita bijak mengaturkan masa untuk anak-anak ketika cuti. Jangan sampai dibiarkan masa cuti anak-anak berlalu begitu saja tanpa ada pengisian yang bermanfaat. Bukan tidak boleh bercuti dan melancong, tetapi ujar beliau, berapa kerat keluarga yang membawa anak-anak melancong serta melawat ke tempat-tempat seperti Pusat Sains, Planetarium atau Petrosains. Janganlah diharap pada rombongan sekolah saja untuk dibawa ke tempat-tempat seperti itu. Biarlah anak-anak ini belajar dengan melihatnya secara realiti. Ujarnya lagi, jika keluarga yang berada di bandar, apa salahnya bawa anak melancong ke kampung-kampung supaya mereka dapat melihat kehidupan serta menghargai kehidupan kampung.

Nota saya: saya pernah membawa anak-anak ke Petrosains ketika cuti sekolah, masyaAllah, ramainya manusia. Akhirnya tidak jadi masuk kerana hilang tumpuan untuk menikmati segala pameran yang ada. Terpaksa membawa mereka ke Planetrium Negara ketika bukan hari cuti sekolah, tetapi selepas ini bagaimana? Anak sudah mula bersekolah, dan untuk membawa mereka melancong hanyalah ketika cuti sekolah. Terpaksa berasak-asak dengan keluarga-keluarga yang lain. Baru-baru ini, kementerian pelancongan menyeru agar rakyat malaysia mengutamakan cuti di dalam Malaysia, tetapi, harga hotel juga meningkat mahal ketika cuti sekolah...begitu juga harga-harga yang lain, sewa kereta, barangan....aduhai cuti-cuti malaysia!

Wednesday, November 5

"Speaking"

Amboi... terkejut umi dan abah.

Dua malam lepas, saya sudah mengajak anak-anak tidur. Kakak menjawab,

"Wait father finish game"... sambil melihat abahnya yang santai bermain komputer.

Amboi! Bila masa pula anak saya belajar "speaking"... boleh pula disusunnya ayat walaupun tatabahasa tidak betul lagi.

Monday, November 3

Kasihan Adik - 2

Seharian adik tidak mempunyai selera makan. Saya masakkan moi serta sup ayam. Hanya 3,4 sudu yang dijamah, yang selebihnya kakak yang habiskan. Saya tahu, dengan keadaan begini, dia tidak begitu berselera untuk makan. Asyik terbaring di hadapan tv. Susu yang biasanya sebotol 12ml boleh dihabiskan, namun separuh botol yang dibancuh pun tidak habis. Kasihan saya melihatnya. Cirit-biritnya masih ada, namun, agak berkurangan. Kebiasaannya celotehnya memang menghiburkan, tetapi kali ini, sunyi. Tiada jeritan atau usikan kedengaran. Petangnya, begitu juga, namun suapannya lebih sedikit dari tengahari.

tengahari

petang

Saya tahu caranya. Terus saya sms suami, memesan satu makanan untuk adik ketika pulang kerja nanti. Saya tidak memberitahu kakak atau adik kejutan ini. Seperti dijangka, nampak saja makanan ini, dia terus bangun. Jika tidak, hendak disuapkan nasi pun dalam keadaan berbaring.

inilah makanan kegemaran adik...ais krim! bertambah juga dia makan

Kasihan Adik

Semalam ketika mengambil anak-anak dari rumah tok mereka, kelihatan ok saja. Ketika di rumah, adik yang tidur di sofa, tiba-tiba muntah. Selalunya ketika batuk dia akan muntah. Ini tiba-tiba sahaja. Sewaktu mencuci muntah, terlihat sedikit cirit di diaper nya. Malam pula, 2 kali muntah dan cirit. Jam 10 malam, terpaksa juga mencari klinik yang masih dibuka. Tidak kisahlah walaupun bukan klinik panel, asalkan hati ini tenang melihat adik yang semakin lembik. Selepas makan ubat, adik lena keletihan, tidak menjamah sebarang makanan dan air, minum saja, akan muntah semula. Jam 12, cirit nya menjadi semula, habis tilam dan cadar kebasahan.


Selepas cirit, suhu badan semakin panas. Adik asyik merengek tidak selesa. Saya juga tidak dapat tidur semalaman kerana awas dengan keadaan adik. Risaunya hati saya. Semalam juga saya bersihkan baju yang kotor akibat muntah dan cirit sehingga jam 2 pagi. Pagi ini bangun dengan keadaan yang agak khayal. Sudahnya kakak juga tidak ke sekolah. Tidak mengapa kerana sekarang ini tiada lagi aktiviti pembelajaran, kecuali berlatih untuk persembahan hari penyampaian hadiah. Abahnya juga terpaksa mengambil cuti separuh hari kerana keletihan tidak dapat tidur semalam.

adik yang sudah kecut mukanya.

Sunday, November 2

Makan

Hati seorang ibu...gembira, suka jika makanan yang dimasak untuk keluarga dapat dinikmati oleh mereka. Apatah lagi jika makanan yang disajikan mendapat pujian dari keluarga. Tidak perlu bersusah payah dengan resepi yang canggih, hanya resepi yang ringkas serta dimasak dengan penuh kasih-sayang insyaAllah, makanan akan terasa sedap.

Anak-anak suka makan spagetti. Kami jarang sekali menikmati spagetti di luar kecuali jika berkunjung ke rumah kakak saya di KL. Jadi, kadang-kadang, saya akan menyajikan hidangan spagetti kepada anak-anak. Tidak pula selalu, nanti jemu pula.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin