Showing posts with label banjir. Show all posts
Showing posts with label banjir. Show all posts

Wednesday, November 10

Banjir - Sabtu 6/10 (pasca)

Belum boleh dikatakan sebenar-benarnya 'pasca banjir' kerana airnya masih ada di sekeliling rumah.  Ketika kami tiba lewat petang itu, adik ipar dan suami serta mak dan ayah sedang mencuci lantai.  Tiba masanya untuk menyingsing lengan untuk turut serta 'bermain' air... hehehe.  Tidak dapat dibayangkan jika anak-anak turut serta, pasti kecoh dan lambat juga proses pencuciannya.  Gambar-gambar hanya diambil dari dalam rumah.  Tidak sanggup untuk meredah air banjir yang dipenuhi sampah-sarap beserta bauan yang 'enak' dihidu semata-mata untuk mengambil gambar rumah yang seperti pulau di tengah-tengah tasik.  

 paras tertinggi air di garisan merah

 kelihatan air mulai surut di halaman rumah


 paras air di dalam rumah di garisan merah

 sudut yang sedang dibersihkan

 kesan selut di lantai bilik


Ada di antara barang telah diangkat dan diletakkan di atas kerusi dan meja oleh mak ayah sebelum mereka berpindah ketika air banjir sedang naik. Air banjirnya juga hanya beberapa kaki dari lantai rumah,  tidaklah seberat tanggungan mereka yang tidak dapat menyelamatkan barangan rumah yang dilimpahi air separas kepala dan lebih. 

Tuesday, November 9

Banjir - Sabtu 6/10

Sebaik kembali dari mengawas peperiksaan akhir di kampus tengahari itu, saya dan suami bersiap-siap untuk balik ke Alor Setar setelah mendapat khabar air banjir mulai surut dan rumah tiada lagi air banjir kecuali di bahagian dapur yang berbaki sedikit.  Anak-anak masih lagi di rumah mak saya dan  hanya kami balik ke sana untuk memudahkan kerja.

Bekalan air bersih masih lagi menjadi masalah bagi sesetengah tempat.  Ketika singgah di masjid Al-Ghufran, Akar Peluru, bekalan air masih tiada lagi.  Hanya air dari sebuah pili berhampiran tangga masjid digunakan untuk mengambil wuduk. 

Kami meninjau kawasan pusat bandar, ada sesetengah jalan masih lagi dipenuhi air.





 tidak berani melalui jalan ini

 di perkarangan Pekan Rabu

Melalui jalan yang sama (Hutan Kampung) pada hari sebelumnya untuk ke Perlis, saya dan suami dapat mengagak paras air yang telah surut.  Namun, beberapa jalan masih lagi ditenggelami air yang agak tinggi.  Bimbang juga melalui jalan itu, tetapi diyakinkan oleh suami untuk mengekori rapat di belakang lori, ianya agak selamat.  Dalam hati berdoa agar janganlah hendaknya kereta tersangkut di tengah-tengah air banjir.


 kami mengekori rapat di belakang lori ini meredah air banjir yang agak tinggi

 percikan air di sisi (air agak tinggi)


 paras air tertinggi di pagar KTU (Kolej Tentera Udara)

Kelihatan di kiri kanan dan tengah pembahagi jalan, khemah-khemah yang didirikan oleh penduduk-penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.  Agaknya mereka lebih selesa berada di dalam khemah masing-masing sambil memerhatikan paras air sebelum mereka dapat kembali ke rumah mereka.


 sayup lapangan kapal terbang yang masih ditenggelami air

 deretan kenderaan mangsa banjir

Dan inilah hasilnya....

mana nombor pletnya? hehehe....

- bersambung -

Monday, November 8

Banjir - UiTM Perlis - Jumaat 5/10 (perjalanan pulang)

Ketika di dalam perjalanan pulang, kelihatan beberapa senario yang menarik hati untuk dirakam ke lensa kamera.  

 kesempatan berniaga penyapu dan paip getah untuk mencuci rumah sesudah banjir

 anak-anak ini bermandi-manda di dalam air bah sambil diperhatikan oleh ibu-ibu mereka agaknya

Ketika melewati anak-anak ini, mereka melambai-lambai ke arah kami dengan wajah riang.  Kami (saya) membalas lambaian mereka.

 idea bernas untuk mengelak motosikal ditenggelami air

 
 berniaga di dalam khemah pun memadai

deretan lori tangki air SYABAS di tol Sg. Dua menghala ke utara

Sesungguhnya musibah ini menyatukan semua golongan untuk tampil ke hadapan menghulurkan bantuan tidak kira agama dan bangsa.
 

Banjir - UiTM Perlis - Jumaat 5/10


Cuti Deepavali dimanfaatkan dengan mengikuti rombongan misi bantuan ke UiTM Perlis.  Suami juga memberikan sokongan padu dengan turut serta di dalam rombongan dengan 3 buah bas ini.  Misi yang diketuai oleh pengarah kampus ini turut disertai oleh staf pentadbiran, staf akademik serta pelajar.

Dengan cuaca yang agak suram, rombongan keluar melalui tol Alor Setar Utara dan menggunakan jalan lama untuk ke destinasi.  Perjalanan ke Perlis melalui beberapa halangan akibat jalan ditutup.  Jika kenderaan ringan dan kecil, rasanya tidak dapat melalui jalanraya yang dipenuhi air, anggaran saya, separas lutut atau lebih.  Bimbang juga tersangkut di tengah jalan yang dilimpahi air, tetapi hati memanjat berbanyak doa agar perjalanan kami selamat pergi dan selamat balik semula.  


Alhamdulillah, selepas perjalanan 3 jam dengan beberapa henti kerana laluan dipenuhi air, kami tiba di UiTM Perlis sekitar jam 11 pagi.  Maka bermulalah sesi punggah-memunggah serta pembungkusan ke dalam plastik kecil untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar UiTM Perlis.  Ada juga sumbangan-sumbangan yang dihantar ke sekitar Kangar yang masih lagi ditenggelami air yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil.  Ketika itu, keadaan di sekitar Arau telah pulih dengan beberapa kedai telah dibuka.  Keadaan mereka tidak lagi kritikal seperti sebelum ini.  



 air banjir deras mengalir di bahu jalan


 hati berdebar apabila bas melalui jalan yang ditenggelami air

 deretan kenderaan yang diparkir di atas flyover




Ketika kami tiba, pasukan dari UiTM Shah Alam sedang membungkus sumbangan mereka ke dalam plastik-plastik kecil.

 bersama-sama membungkus sumbangan

 sumbangan dari UiTM P.Pinang

pelajar-pelajar menerima sumbangan mereka

 pengarah UiTM P.Pinang (berbaju putih) di atas trak

 sumbangan yang sedang dimuatkan ke dalam trak untuk agihan di sekitar kawasan yang masih dinaiki air

Selesai agihan kepada pelajar, kami bergerak pulang sekitar jam 4 petang.  Pengarah masih lagi mengikuti misi bantuan ke sekitar Kangar dengan trak Palapes UiTM Perlis.  Kami tiba semula ke UiTM Pulau Pinang sekitar jam 6 petang. 


Musibah banjir ini diterima dengan pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak. Alhamdulillah, pihak yang tidak merasai banjir turut sama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir tidak kira agama dan bangsa.  Kepada kanak-kanak, mereka seakan-akan tidak mengerti apa itu kesusahan, sebaliknya seronok bermain di dalam air bah tersebut.  Bimbang juga melihat mereka di dalam air bah, tetapi diharapkan keluarga dapat mengawasi anak-anak ini untuk mengelakkan peristiwa yang tidak diingini berlaku.  Kepada mangsa-mangsa banjir, ini ujian bagi mereka setelah terputus bekalan air dan elektrik untuk menjalankan tugas-tugas harian mereka.  Semoga mereka bersabar.

- bersambung - (suasana di dalam perjalanan pulang)

Sunday, November 7

Banjir - Khamis 4/10

Gambar-gambar berikut diambil oleh suami sekitar Alor Setar setelah mendapat perkhabaran dari maknya yang kawasan rumah telah ditenggelami air.  Belum pun sempat sampai ke rumah,  kawasan yang asalnya dipenuhi air separas betis, dia pula terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air bah sehingga paras dada.  Mujur tidak ada apa-apa sekadar melecet di lengan kanannya saja.  EOS serta telefon bimbitnya sama-sama 'mandi' di dalam air bah.  Gambar-gambar ini diupload ke dalam FB suami, tetapi saya letakkan di sini juga untuk yang  tidak dapat memasuki FB saya atau suami.






 kasut siapa yang tertinggal di dalam air bah ini?





 jangan tersadai sudahlah...



 perkarangan stadium

muzium

- bersambung -
 

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin