Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.
Pelbagai perasaan bercampur-aduk di benak fikiran ketika berkonvoi ke Kemaman menyantuni mangsa-mangsa banjir pada 14 Disember lalu. Susah untuk ditafsirkan apa yang bermain di fikiran ketika melihat pasca banjir di sana.
konvoi di tol Karak |
"Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidak ada seorang muslim pun yang tertusuk duri atau tertimpa bencana yang lebih besar dari itu kecuali akan tercatat baginya dengan bencana itu satu peningkatan darjat serta akan dihapuskan dari dirinya satu dosa kesalahan." - Sahih Muslim No.4664.
Saya bukanlah seorang jutawan mahupun hartawan yang mampu untuk menghulurkan segalanya kepada mereka, yang ada hanyalah sedikit kudrat untuk menyampaikan sumbangan yang dikirimkan oleh rakan-rakan yang perihatin. Ingin juga mengutip pahala jariah walaupun dengan cara yang tersendiri...mudah-mudahan Allah akan memudahkan urusan saya dunia dan akhirat.
kami berkira-kira ketinggian paras air dari pokok-pokok di kiri kanan jalan yang dipenuhi selut! |
"Hadis riwayat Ibnu Umar ra.: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat." - Sahih Muslim No.4677.
pasca banjir :( |
pelantar rumah yang runtuh kerana menampung bebanan air mineral yang berat |
apa yang tersisa |
antara sumbangan |
mudah-mudahan mereka sedikit selesa dengan adanya toto ini |
paras air di dinding rumah |
kerosakan harta-benda |
sumbangan tilam yang juga terhad |
Musibah banjir yang dikatakan antara yang terburuk di dalam sejarah ini (menurut beberapa penduduk di sana) juga merungkai hikmah persaudaraan yang tersendiri. Asas persaudaraan seakidah dan seagama inilah yang menyaksikan beberapa kumpulan sukarelawan dari pelbagai agensi bersama-sama menghulurkan sumbangan setakat yang termampu. Ketika kami berkonvoi di Lebuhraya Pantai Timur dan ke desa-desa pasca banjir, kami berselisih dengan beberapa konvoi lain, sama-sama berbalas kerlipan lampu kereta sebagai menghargai kehadiran masing-masing - sungguh indahnya persaudaraan ini. Ianya menyatukan semua dari pelbagai latar-belakang bersama-sama menyantuni yang kurang bernasib baik. Buat yang menguruskan bantuan mangsa banjir, mudah-mudahan usaha anda membantu semuanya tanpa mengira warna bendera parti politik seseorang itu mendapat ganjaran di sisi Allah...
Ketika berpelukan dengan salah seorang penerima sumbangan, dia berkata, "ini mak cik mun, ingat tak? kita jumpa dulu...". Setelah saya merenung wajahnya, baru saya mengenali mak cik Maimun, ibu kepada adik Radhi OKU yang kami temui ketika jjmk Ramadhan yang lalu (cerita di sini). Rupa-rupanya dia masih mengingati saya di pertemuan singkat kami itu :">
Memandangkan toto yang dibawa adalah terhad, hanya keluarga yang mempunyai anak kecil diberi kelebihan memilikinya.
Sebelum ini, banjir tidak mencecah lantai rumah ini, tetapi kali ini, air naik separas tingkap rumahnya. Segala barangan tidak dapat diselamatkan lagi kerana air naik begitu mendadak.
pemandangan yang hampir serupa di mana-mana |
Wajah-wajah riang ini ibarat ais yang menyejukkan serta penawar kepada keletihan mengembara 1000km lebih. Keletihan kami tidak setanding keletihan mereka ketika pra dan pasca banjir, kesusahan kami juga tidak dapat mengatasai kesusahan mereka berhadapan dengan musibah banjir!
Di dalam senyuman, ada air jernih yang bertakung di kelopak mata mereka. Bibir mereka tidak henti-henti mengucapkan terima kasih di atas kunjungan dan sumbangan yang diberikan, walaupun kami hanya menyampaikan amanah rakan-rakan yang dermawan. Sebak tertahan... apabila mereka beramai-ramai mendoakan kesejahteraan kami serta para penyumbang yang lain.
Kami tinggalkan mereka untuk meneruskan kehidupan mereka pasca banjir besar ini dengan harapan ada pihak-pihak yang sudi menyumbangkan sedikit peralatan asas untuk meringankan beban mereka.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah, beliau bercerita: “Pada suatu hari, selepas menemui Rasulullah SAW, Abu Salamah mendatangiku, lalu beliau menceritakan bahawa beliau telah mendengar ucapan Rasulullah SAW yang membuat aku merasa senang.
Baginda bersabda: Tidak ada seorang daripada kaum muslimin yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun, lalu ia berdoa, Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha (Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik darinya), melainkan doanya itu dikabulkan.
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?