Friday, August 3

Puasa adik...

hampir-hampir bocor puasanya hari itu...kerana dahaga.  Dia sudah memegang botol itu seawal jam 6 petang!


Adik sudah mula berjinak-jinak dengan puasa ketika di usia 5 dan 6 tahun.  Dahulu, dia berpuasa setakat termampu.  Sahur adik adalah sebelum ke tadika.  Kadang-kadang apabila dia terjaga ketika bersahur, dia akan bersahur bersama.  Puasanya selalu bertahan sehingga jam 5 - 5.30 ketika saya mengambilnya di tadika.  Kenapa begitu?  Di tadikanya, cikgu ada menyediakan makanan bagi anak-anak yang tidak berpuasa, tetapi adik malu katanya ingin makan kerana bulan puasa.

Sehingga hari ini, adik yang sudah berusia 7 tahun, tidak lagi meninggalkan puasanya.  Alhamdulillah.  Sebelum bermulanya Ramadhan, kami sudah memberitahu adik tentang puasa dan dia ingin berpuasa penuh katanya.  Kami bimbang dengan adik, kerana adik seorang yang gemar makan, mampukah dia berpuasa menahan makan dan minum untuk tempoh yang panjang.  

Hari pertama dan kedua di rumah, dia merengek lapar.  Setelah diberi galakan dan motivasi serta memuji-muji bahawa dia kuat untuk berpuasa, dapat juga bertahan sehingga tiba waktu maghrib.  Seperkara lagi yang membuatkan adik leka, saya biarkan dia bermain games di tablet saya sebagaimana saranan di dalam hadith ini:

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Petikan di sini).

Ada juga suara-suara yang berkata, anak-anak diajar berpuasa, tetapi tidak kisahkan tentang solat mereka.  Ya... solat mereka juga dijaga supaya dapat ditunaikan seiring dengan ibadah yang lain.  Mereka juga sudah dilatih bersolat sebelum umur mencecah angka tujuh.

Kisah puasa lagi di sini dan sini.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin