(sumber)
Baru-baru ini rakan sekerja yang lebih senior memberitahu bahawa beliau terdengar pelajar (lelaki) berkata kepada rakannya yang pensyarah (kawan saya itu) memakai baju kurung yang sama ketika masuk ke kelas. Kami yang mendengarnya ketawa. Bukan kerana ketawakan kawan saya itu, tetapi lebih kepada ketawa kepada diri sendiri. Agaknya saya juga begitu, cuma tidak pula kedengaran di telinga saya. Koleksi baju kurung saya juga tidaklah begitu banyak. Berbaju baru hanya ketika menyambut Aidil Fitri sahaja. Aidil Adha pula, sekadar mengenakan pakaian lama yang masih cantik (pada pandangan saya). Kadang-kadang untuk peristiwa tertentu, maka, adalah baju baru yang akan saya kenakan.
Jika pelajar yang pernah mengikuti kuliah saya pada semester pertama dan kemudian, bertemu lagi di kuliah saya di semester tiga atau empat, pakaian itu jugalah yang akan saya ulang pakai. Bukan tidak mampu, tetapi, saya bukan orangnya yang suka memenuhkan almari pakaian. Bimbang nanti tidak dipakai, akan dipersoalkan pula di padang masyhar kelak. Lagipun, banyak perkara lain yang memerlukan duit berbanding bergaya dengan baju baru saban waktu. Baju kurung yang ada juga masih elok dipakai. Pakaian yang sangat lama yang masih elok, telahpun diberikan kepada fakir miskin. Jadi, tidak kisahlah, jika baju itu juga dipakai selalu berbanding fakir miskin yang tidak pernah bertukar baju baru hatta ketika hari perayaan sekalipun.
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?