Sejak Ramadhan tiba, adik tidak pernah lagi ketinggalan sahur kecuali 2 hari saja. Selalunya, bangunnya sendiri, tidak perlu dikejut berbanding kakak yang perlu dikejut berkali-kali. Puasanya juga mencecah sehingga jam 2 atau 3 petang. Alhamdulillah. Kakak setakat ini masih bertahan, kecuali sehari dia terlalu dahaga dan minum air kawannya di sekolah.
Ketika selesai subuh, adik memberitahu.
"Masa umi baca doa (qunut), adik lupa terus turun sujud."
"Itu qunut.", saya memberitahu adik. "Masa subuh saja kita baca qunut".
Harap-harap tidak menjadi seperti inilah pemahamannya.
Ketika hendak tidur semalam, dia menegur saya.
"Umi buat apa tu?"
"Umi tengah set alarm"
"Alam sekitar ke umi?"
"Bukan alam sekitar la adik. Alarm nak kejut bangun. Mana adik dengar alam sekitar ni?"
"Adik tengok tv, ada bagitau alam sekitar"
Hmmm....
Adik juga seorang pemerhati. Dia cepat 'terhidu' jika ada sesuatu benda yang baru atau lain dari yang lain.
"Umi...baju umi ada benanglah kat bawah", dia mengomen baju tidur saya.
"Itulah, umi mana ada baju baru, tak dak duit nak beli. Selalu beli baju kakak dengan adik. Umi dah miskin"
"Nanti umi ambik la duit kat MAI bank"
"Huh? Mai Bank? Bank apa tu adik"
"Itu.. bank yang orang ramai-ramai beratuq ambik duit. Tekan-tekan kat mesin, dapat duit. Hari tu adik ikut abah pi MAI bank" (dia ingat tekan saja dapat duit agaknya).
Hehehe. Rupa-rupanya Maybank!
"Nanti umi ambik duit tu, orang kata umi curi. Nanti umi kena tangkap polis. Umi mana ada duit dalam tu adik"
"Oooo.. kena ada duit dalam tu baru boleh ambik ka?"
"Umi kan kerja, duit umi ada dalam bank", dia menambah.
"Duit umi habis dah beli baju kakak dengan adik, mana ada lagi"
"Tak palah, nanti adik bagi duit kat umi beli baju baru"
Hahaha...akhirnya.
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?