Wednesday, June 24

Percaya atau Tidak? - 2

Disakat oleh toyol (?) ketika kecil bukanlah perkara terakhir yang berlaku di dalam hidup saya. Sewaktu sedang menuntut di peringkat persediaan di peringkat ijazah pertama, saya masih lagi menerima gangguan dari makhluk yang tidak kelihatan ini (makhluk halus).

Kata ustaz, jika kita pernah mengalami gangguan dari makhluk yang tidak berjisim ini, maka badan kita seakan sudah mempunyai lorong atau denai untuk mereka memasuki lagi. Dan cara untuk menutup denai tersebut adalah melalui zikir, doa, selawat serta ayat-ayat Al-Quran yang boleh digunakan sebagai pendinding.

Ketika di asrama Seksyen 18, Shah Alam dahulu, saya juga pernah diganggu di bilik yang saya diami. Hairannya, teman-teman serumah tidak pula diusik, agaknya "penghuni" itu meminati saya..hehehe. Gangguan tersebut akan muncul sekitar jam 12 - 3 pagi. Kebiasaannya saya sudah tidur waktu itu, kecuali teman sebilik, Ija yang masih berjaga untuk belajar. Ketika inilah gangguan demi gangguan akan saya terima, antaranya dihimpit sehingga tidak dapat bernafas. Ayat-ayat Quran serta Kursi yang dibaca seakan tidak lut untuk memecahkan gangguan itu. Jika melihat saya dalam keadaan yang tidak menentu itu, Ija sudah sedia maklum untuk mengejutkan saya kerana saya sudah berpesan padanya.

Ada satu ketika saya terpandang lembaga hitam di sebelah saya ketika bergelut untuk melepaskan diri dari gangguan. Hanya pada Ija saya ceritakan masalah gangguan ini, bimbang rakan-rakan serumah yang lain takut untuk tinggal di situ. Pada keluarga juga tidak diceritakan peristiwa ini.

Selepas melalui gangguan demi gangguan dan agak tertekan, saya pasrah dan memberitahu keluarga tentang gangguan ini. Rupa-rupanya saya diganggu oleh penunggu rumah/bilik yang saya diami itu. Alhamdulillah, selepas diberi air penawar serta mengamalkan beberapa ayat Al-Quran, akhirnya gangguan itu hilang.

Seperkara lagi tentang gangguan yang tidak kelihatan ini, kaedah perubatan biarlah secara terang-terangan menggunakan ayat-ayat Quran melalui ustaz-ustaz yang dipercayai, bimbang nanti, kaedah-kaedah yang digunakan bercanggah dengan ajaran agama Islam.

6 comments:

  1. alhamdulillah skrg tak kena lagi...sebab depa tau, kena go thru body guard bahaya tu ;)

    ReplyDelete
  2. lin, ada lagi sambungan, belum habis lagi ;)

    ReplyDelete
  3. uiskkkkk misteri nusantara ke seekers ni? [",]

    ReplyDelete
  4. hehehe...jangan dibiarkan diri anda dibelenggu misteriiiiii hehehe

    ReplyDelete
  5. mana sambungan puan? ke ke ke dah misterius sesangat ni

    ReplyDelete
  6. hehehe, dah hampir lupa la pula...tungguuuuuu

    ReplyDelete

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin