Monday, April 7

Takdirnya begitu...

Di dalam masa yang singkat, seorang sahabat ini didiagnos dengan kanser yang pelbagai.  Pertama kali melihat dia yang sebelum ini cergas ceria sebelum ini terbaring lemah di katil hospital, menitik juga air mata dari takungannya. Rakan-rakan lain yang menziarahinya juga dilihat mengesat mata yang 'dimasuki habuk'.  

Kali kedua menziarahinya sesudah selesai menjalani pembedahan di wad ICU.  Agaknya kesan ubat@dadah yang dimasukkan ke dalam tubuhnya menyebabkan saya dan seorang lagi sahabat hampir tidak mengenalinya.  Ya Allah.. tertahan-tahan airmata melihat keadaannya ketika itu yang mamai dengan kelopak mata yang sekejap dibuka dan ditutup perlahan-lahan.  

Kali ketiga bersemuka dengan sahabat ini pasca pembedahan dan sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk menyusutkan sel-sel kansernya, ternyata sisi ceria sahabat itu sudah kembali.  Hati lega melihatnya kembali tersenyum dan ketawa sambil menceritakan pengalamannya dari sebelum didiagnos dengan kanser , pengalamannya menginap di hospital dan bermacam-macam lagi.  

pemandangan dari tingkat 16 hospital
Allahu Akbar..Subhanallah... dia sangat positif dan dikurniakan semangat yang tinggi untuk berjuang dengan ujian yang diberikan.  Ianya merupakan 'tazkirah secara langsung' yang saya perolehi dari setiap kata-katanya.  "Kita mampu berusaha, apa-apa pun kita berbalik kepada Allah yang akan menyembuhkan"... begitu positif dan tinggi keyakinan dan kebergantungannya kepada Allah s.w.t.  Saya meneropong ke dalam diri...yang kadang-kadang berkeluh-kesah dengan ujian yang sedikit tetapi masih dikurniakan kesihatan yang baik.  Ada-ada saja yang difikirkan...

Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)

“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R. Bukhari dan Muslim)

Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)

Setiap insan dikurniakan ujian kehidupan yang berbeza.  Ada yang diuji dengan kesakitan, kesusahan, kekayaan dan sebagainya, tetapi semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan keimanan masing-masing.  Begitu juga ujian peperiksaan di dalam dewan kuliah, ianya sebagai aras ukur tahap kefahaman seseorang di dalam sesuatu matapelajaran, begitulah juga dengan ujian kehidupan. 

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut:2-3).

Begitulah takdirNya...

Didoakan sahabat ini dikurniakan kesembuhan dari penyakitnya dengan sebenar-benar kesembuhan yang tidak berbaki.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin