Thursday, October 13

Antara Anak dan Bapa




NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM PADA ANAKNYA

Hai anakku! Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan ini dengan sampan bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan Allah.

Hai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia tawadhuk kepadanya, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepadaNya.

Hai anakku! Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu), maka marahnya orang tua itu adalah bagai baja bagi tanam-tanaman.

Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

Selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu untuk tidak menderhakai Allah, takutlah Allah dengan sebenar-benar takut.

Hai anakku! Seorang pendusta akan segera hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang. Orang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal yang tidak benar.

Hai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada itu semua bilamana engkau mempunyai tetangga yang jahat.

Hai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan seorang yang mencari kayu api, setelah banyak terkumpul ia tidak kuat memikulnya padahal ia masih terus menambahnya.

Hai anakku! Bila engkau ingin menemukan kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura sehingga membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahannya itu dia masih berusaha menginsafkan atau menyedarkan kamu, maka bolehlah dia engkau ambil sebagai kawan. Bila tidak demikian, berhati-hatilah engkau terhadapnya.

Hai anakku! Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya dia yang mengharapkan sesuatu daripadamu.

Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk, kotor serta kasar kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara usahakanlah agar bicaramu mendatangkan kemanfaatan bagi orang lain.

Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi. Orang yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun.

Hai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang alim dan orang berilmu. Perhatikanlah kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya hati menjadi sejuk apabila mendengar nasihatnya, hiduplah hati dengan cahaya hikmah bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.

Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluan dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekal akhiratmu. Jangan engkau menolak dunia kerana nanti engkau menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau peluk dunia dan meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.


DIALOG BERHARGA LUQMAN DENGAN ANAKNYA

Bertanya anak Luqmanul Hakim kepada ayahnya : “Wahai ayah ! apakah perangai yang paling baik dari seorang manusia?”. 

Jawab Luqman : “Agama”. 

Bertanya lagi si anak : “kalau perangai itu dua?” 

Jawab Luqman : “Agama dan harta”. 

Tanya si anak lagi : “kalau tiga?”. 

Jawab Luqman : “Agama, harta dan malu”. 

Tanya si anak lagi : “kalau empat?”. 

Jawab Luqman : “Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik”. 

Tanya si anak lagi : “kalau perangai itu lima?” 

Jawab Luqman : “Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik dan pemurah”. 

Tanya si anak lagi : “kalau enam?”

Jawab Luqmanul hakim : “Wahai anak kesayanganku kalau lima perangai itu terkumpul pada seseorang, maka ia adalah orang yang suci, terpelihara atau takwa kepada Allah, dilindungi oleh Tuhan dan bebas dari syaitan.”


sumber : emel dari Al-Fadhil Ust. Muhammad Che Saad, Pegawai Hal Ehwal Islam, CITU, UiTMPP

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin