Wednesday, June 22

Kisah Tudung Ungu


Beberapa hari lalu, adik membawa balik sehelai tudung ungu.  Ianya diberikan oleh kawan baiknya, Ain Maisarah. Katanya lagi, ibunya menyuruh dia memberikan kepada kawannya.  Lalu, dua helai tudung diberikan kepada adik dan juga seorang lagi kawannya, Haziqah.  Saya ragu-ragu, kerana bukan sekali ini dia membawa balik barang yang diberikan oleh kawan-kawannya.  Budak-budak, begitulah.  Mereka suka berbagi-bagi serta bertukar-tukar barangan sesama mereka.  Jika saya ternampak sesuatu yang bukan miliknya di dalam kotak pensil atau beg, pasti saya akan menyuruhnya memulangkannya semula.  Bimbang juga ibu-ibu mereka marah kerana anak-anak mereka yang memberikan barang sesama mereka.  

Keesokan harinya, saya bertanyakan kepada cikgu tadika adik.  Rupa-rupanya, cikgu mereka juga tidak tahu menahu tentang tudung tersebut.  Mereka berjanji akan bertanyakan kepada ibu Ain Maisarah untuk kepastian.  Benarlah ibunya menyuruh dia memberikannya kepada kawannya. Kemudiannya, kakak juga memberitahu saya, kakak Ain Maisarah (yang kebetulan belajar fardhu ain di tempat yang sama dengan kakak) juga mengiyakannya.  Lega hati saya.  Bukan apa, bimbang juga barangan tersebut diberikan tanpa keizinan ibu mereka, sudah pasti mengundang kemarahan di pihak mereka. 

Adik pula, jika di waktu pagi singgah ke kedai untuk membeli nasi lemak atau roti canai, dia akan meminta dua!  Katanya ingin dikongsi bersama dengan kawannya.  Atau jika dia membawa bekal dari rumah, pasti akan dilebihkan, kerana katanya dia ingin makan bersama kawannya.  Itulah adik. 

"Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa". 

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin