Tuesday, December 7

Indahnya kemaafan...


Lupakan salah orang pada kita
Ingatlah salah kita pada orang
Lupakan bakti kita pada orang
Ingatlah bakti orang pada kita

Saya perlu menyemat kata-kata hikmat ini ke dalam diri saya.  Betapa indahnya memberi kemaafan kepada orang dengan seikhlas hati.  Tiada dendam, tiada benci.  Hubungan yang terputus bertaut kembali. 

Baru-baru ini, saya menonton sebuah filem, sebuah rancangan bual-bicara serta membaca sebuah artikel, yang kesemuanya dihasilkan oleh barat.  Saya sangat tersentuh hati dengan natijah yang terhasil dari filem, rancangan bual-bicara dan artikel ini - kemaafan.

Filem : Held Hostage (berdasarkan cerita sebenar)

Filem yang mengisahkan seorang ibu tunggal bersama anak perempuannya kurang dari 10 tahun dijadikan tebusan dan disiksa oleh penculik untuk tujuan rompakan bank.  Si ibu merupakan pengurus sebuah bank dipaksa melakukan rompakan bank tanpa kerelaannya.  Kedua anak-beranak tersebut trauma dengan peristiwa itu sehingga dicadangkan berjumpa dengan doktor psikologi.  Akhirnya, polis berjaya memberkas penjenayah tersebut dan di akhir perbicaraan yang  si ibu menjadi saksi utamanya, penjenayah tersebut didapati bersalah.  Sebelum perbicaraan berakhir, sewaktu si ibu tersebut berjalan-jalan bersama anaknya, dia bertanyakan pada anaknya, jika anaknya berhadapan dengan penjenayah itu, apa yang akan dikatakannya kepada orang itu.  Anaknya menjawab, dia akan maafkan orang tersebut.  Ternyata jawapan anaknya  yang tidak disangka-sangka itu membuka mata ibunya yang menyimpan dendam terhadap penjenayah tersebut.  Anak itu mengajar sesuatu yang lebih bernilai iaitu kemaafan.


Oprah Winfrey Talk Show - No Phone Zone Campaign

Di beberapa negeri di Amerika telah melancarkan kempen No Phone Zone kepada pemandu.  Tujuan mereka untuk memberi kesedaran kepada pemandu supaya tidak memandu sambil bercakap di telefon bimbit, biarpun dengan hands-free kit.  Oprah menjemput seorang remaja yang terbabit di dalam kemalangan di mana keretanya dirempuh oleh treler yang cuba mengelak kereta yang dipandu oleh remaja yang sedang bercakap di telefon.  Kedua ibubapanya terbunuh di dalam kemalangan tersebut dan dia  berada di dalam koma serta diberi peluang 10% untuk hidup oleh doktor.  Biarpun sembuh, beliau terpaksa belajar semula seperti bayi yang belajar berjalan, makan dan sebagainya.  Di akhir rancangan, apabila dia ditanya oleh Oprah, apa yang ingin dikatakan kepada remaja yang mengakibatkan kedua ibubapanya terbunuh, katanya dia sudah memaafkan remaja tersebut.  Oprah kelihatan terkejut dengan pengakuan tersebut dan turut memuji remaja tersebut yang ingin menyedarkan orang ramai bahayanya bercakap di telefon sambil memandu.

Opening the door to Forgiveness - majalah OnWisconsin
Majalah ini untuk alumni University of Wisconsin-Madison.  Saya tertarik membaca program Restorative Justice yang dianjurkan oleh fakulti undang-undang universiti ini yang mengenemukan mangsa dan penjenayah sejak pertengahan 1980an.  Kata pengarah program ini, kebanyakan sesi diakhiri dengan kedua-dua pihak merasa lebih positif kerana menyertainya.  
Antara kisah yang menarik perhatian adalah seorang wanita yang menjadi mangsa tembakan seorang remaja yang berusia 16 tahun hampir 15 tahun yang lalu.  Setiap tahun sepanjang 13 tahun, wanita itu mengunjungi penjenayah yang menembaknya di belakang kepalanya ketika penjenayah itu cuba mencuri keretanya.  Wanita itu hanya diberi 2% untuk hidup.  Sesudah sembuh, dia turut serta di dalam program ini.  Katanya kepada penjenayah itu, "I can forgive you, but forget it, I won't.  I am legally blind, I am paralyzed on my right side, but I am healed from my heart".   Manakala penjenayah itu mengaku, "when I got locked up, I was still stupid and crazy, but [then] I met with you.  For years, I wouldn't let myself forgive myself for anything.  It's helped me become a better person.".  
Rata-rata peserta keluar dari pertemuan dengan penjenayah memberitahu, "I'm so glad I did that, I feel so much better, I'm so relieved, I feel this huge weight lifted off my shoulders."  Begitulah indahnya kemaafan.  Apabila hati telah dibuka untuk memaafkan pihak lain, nescaya dendam kesumat terhapus dari dalam diri orang itu. 

Saya ingin menyeru diri saya dan juga rakan-rakan, sahabat-sahabat sekelian, bersempena tahun baru ini, marilah kita memaafkan orang lain untuk kesejahteraan diri kita.  Bak kata Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, maafkan semua orang ketika  hendak tidur, supaya aura positif sentiasa di dalam diri kita dan insyaAllah, kita akan sentiasa lebih segar dan bertenaga untuk menghadapi hari esok.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin