Tuesday, December 8

Batu Karang





Sekitar 5 pagi pada tahun 2005, saya terjaga dari tidur kerana kesakitan yang teramat sangat pada bahagian belakang badan, sekitar buah pinggang dan bahagian abdomen.  Kesakitannya melebihi kesakitan ketika diinduce untuk melahirkan serta menjangkaui juga kesakitan selepas turihan pisau ketika caessarian.

Dengan tangan yang terketar-ketar, saya mengejutkan suami yang terpinga-pinga dengan kejadian yang secara tiba-tiba.  Dengan kesakitan yang melampau, tekak terasa seperti loya dan hendak muntah, namun tiada apa yang keluar dari kerongkong kecuali air hijau yang sangat pahit.  Sakit apakah ini?  Lain benar sakitnya.

Hendak baring tidak kena, duduk apatah lagi.  Hanya airmata mengalir sambil menahan sakit.  Dengan terbongkok-bongkok saya gagahkan diri untuk bangun bersiap-siap.  Seawal jam 6 pagi, saya menelefon mak dan memberitahu tentang kesakitan ini dan ingin meninggalkan kakak dan adik yang hanya berusia beberapa bulan ketika itu untuk ke klinik.  Seawal jam 7 pagi, kami sudah sampai di rumah mak.  Dengan simptom yang ada, mak memberitahu kemungkinan batu karang.

Penantian di klinik panel untuk berjumpa doktor amat menyiksakan.  Ketika berjumpa doktor,  dia terus memberikan suntikan menahan sakit.  Ubat jernih berwarna kuning di dalam kapsul diberikan sebagai ubat batu karang.

Selain dari itu, mak juga mendapat petua secara tradisional untuk batu karang.  Petua ini saya patuhi selama 3 hari berturut-turut.  Kulit cempaka bersama sedikit tawas ditumbuk serta dicampurkan air.  Perahan air  hijau dari bahan-bahan ini teramatlah pahit, namun saya gagahkan juga untuk menelan.  Alhamdulillah, agaknya batu karang tersebut pecah dengan sendiri serta keluar secara semulajadi.  Tidak perlu dilakukan pembedahan.  Puncanya?  Tidak pasti, tetapi kemungkinan besar, saya kurang minum air masak. 
   

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin