Showing posts with label sembang. Show all posts
Showing posts with label sembang. Show all posts

Friday, March 30

Amboi...amboi...

Gambar dari blog yang tidak popular ini pun nak dicilok juga ya?  Kemudian diletakkan dengan water mark sendiri pula tu... haih... agak-agak boleh tak saman dapat juta-juta (melampau....), macamlah selebriti pilihan sangat kan. Sudahlah masuk rumah orang tak bagi salam, diambil pula barang kita bawa balik kata dia punya.  

Hehehe... bukan marah sangat pun... faham sangat... segala yang diupload ke dalam ruang siber ini, sesiapa pun boleh guna dan pakai, ambiklah!  tetapi.... kan lebih molek, jika diletakkan rujukan atau kredit atau link dari mana gambar tersebut diambil.  

Saya pun pernah dan akan ambil gambar orang untuk ditepek di dalam blog untuk menjadikan blog saya cantik menarik tertarik (perasannya dia...), tetapi saya tetap meletakkan kredit dari mana sumbernya.  Begitu....

Jangan kata menulis untuk suka-suka tiada adabnya ya... ADA... itu namanya etika di dalam penulisan.  Mana-mana sumber yang diperolehi dari orang lain tetapi meletakkan kredit kepada diri sendiri, itulah namanya plagiat!

Sunday, March 25

Kongsi-kongsi cerita

Salam sahabat blog,

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Seminggu juga rumah ini terabai.  Tuan rumah agak sibuk (sibuk sangat ke?) dengan hal-hal duniawi yang InsyaAllah, jika dimanfaatkan sebenarnya, boleh menjadi saham untuk ukhrawi.  

Seminggu yang berlalu, saya sudah mula sibuk dengan menanda kertas jawapan peperiksaan akhir pelajar.  Peperiksaan kod kursus yang saya kendalikan berturut-turut kali ini, Sabtu, Ahad dan juga Selasa.  Tiga kod kursus dengan empat kumpulan pelajar, cukup untuk memenatkan mental saya apabila berhadapan dengan jawapan pelajar yang sungguh... hebat!  Jenuh mencari di mana hendak diletakkan markah!

Di dalam seminggu ini juga, saya mendapat perkhabaran, biasiswa PhD saya sebenarnya adalah untuk ke LUAR NEGARA!  Berserabut sekejap kepala otak yang sedia berserabut ini.  Perancangan asal ketika permohonan dan juga ketika ditemuduga, saya sudah nyatakan di dalam negara saja, tetapi, perancangan Allah itu sebaliknya.  Ketika mencetak borang yang segala macam itu (sebelum saya tahu untuk ke luar negara itu), saya sempat bergurau dengan rakan sebilik,

"Itu belum yang overseas lagi... jika tidak, bertambah lagilah borang", tup-tup terkena batang hidung sendiri!  Padan muka saya!

Selesai perbincangan dengan en. suami, dia hanya bersetuju jika saya sanggup menyambung di Universiti Timur Tengah saja.  Katanya, ini saja short cut untuk kami mengunjungi rumah Allah berulang-ulang kali.  

Saya mengikut saja.  Kebenaran dari en. suami untuk saya menyambung ke peringkat PhD itu pun saya benar-benar bersyukur, kerana PhD bukan saja pengorbanan orang yang membuatnya saja, tetapi juga memerlukan pengorbanan pasangan dan keluarga.  Namun, sudah tentu saya juga akan mencari Universiti yang diiktiraf oleh kerajaan serta yang benar-benar bagus untuk bidang saya.  Saya sedang giat membuat pencarian Universiti yang bersesuaian dengan bidang yang saya kehendaki, "Environment Pollution Modelling" yang lebih menjurus kepada alam persekitaran.


Taklimat biasiswa di kampus Shah Alam, 13 Mac 2012.


Sedikit tips yang disampaikan yang saya rasa wajar dikongsikan.

1. Ikut cakap penyelia
2. Susah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian
3. Sediakan bahan penulisan sebanyak mungkin untuk dimuatkan ke dalam jurnal
4. Niat kena betul, untuk belajar
5. Bersedia dengan segala kemungkinan - penyelia meninggal, berpindah universiti kerana penyelia hanyalah sebagai guide dan untuk networking saja.
6. BACK-UP segala files di merata tempat simpanan, di pejabat, rumah, di mana-mana saja!
7.  Sokongan dari keluarga, terutamanya pasangan



Foto seekor burung yang nampak makanan (peluang) di dalam air tasik. (kredit en. suami)




Mungkin saya juga perlu mengintai-intai peluang yang ada itu?  Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya ini.

Tuesday, August 16

Cerita-cerita

Fitnah

Ketika di dalam perjalanan balik ke rumah, saya teringat yang telefon saya di dalam beg kerja, bukannya di dalam beg tangan.  Saya meminta adik mencari di dalam beg kerja saya.  Adik memberitahu tidak ada.  Berkali-kali dia mencari tidak berjumpa dan berkali-kali juga saya menyuruhnya mencari kerana saya pasti ianya di dalam beg coklat itu.

"Ummi ni... fitnah saja!"

Opss... saya dan kakak ketawa, tidak tahan dengan perkataan yang disebut adik itu.  

"Kenapa fitnah pulak adik?", setelah reda ketawa saya bertanya.  Adik terdiam di kerusi belakang.

"Adik tahu tak apa maksud fitnah?", tanya saya.

"Ye la, fitnah tu kan maksudnya tuduh"

Saya ketawa lagi.  Adik marahkan saya.

"Memanglah fitnah tu maksudnya tuduh.  Tapi adik pakai perkataan tu tak betul"


Kacang Kuda


Semalam ketika sedang menanti azan isya', saya mengunyah kacang kuda yang diberikan mak mertua. Leka mengunyah kerana kacangnya lembut.  

Adik juga turut serta kemudiannya.  Saya mencari idea untuk menguji adik.

"Adik, ini namanya horse nut."

Adik memandang saya.  "Kacang apa ummi?"

"Horse nut"

Adik mengerutkan kening sambil mengunyah lagi.  Dia terdiam, kemudian bersuara, "horse nut tu macam kuda kan ummi?  horse tu kan kuda"

"Iyalah, inikan kacang kuda, jadi bahasa Inggerisnya horse nut lah", saya ketawa.  Adik tersengih sambil menampar saya kerana tidak berpuas hati.

"Adik... nak tahu tak?  kacang ini kan asalnya gigi kuda.  Tengok... macam gigi kan?"

Adik tambah mengerutkan mukanya dengan nada tidak percaya.  Dia memperlahankan kunyah.

"Cuba adik tengok, kacang ini kan warna kuning.  Gigi kuda warna kuning.  Sebab itu nama dia kacang kuda"

"Gigi kan keras, kacang ni lembut ja"

"Ya lah, dah kena masak, lama-lama lembutlah..."

"Ya ka ummi?", sambil menjeling dan membuat muka tidak percaya.

Saya ketawa.  Adik juga ketawa.  

Suka mengenakan dia.


Comot
 

Anak-anak 'dara' saya tidak mementingkan penampilan mereka.  Selepas mandi, biasanya rambut dibiarkan tanpa disikat.  Geram saya dibuatnya.  Sudah beberapa kali diberitahu, tidak berkesan.  Kakak juga pernah sekali, baju kurung untuk ke fardu ain, tidak diseterikanya.  Katanya, malas!  Dan dia juga memberitahu ustazahnya tidak kisah.  Kadang-kadang baju sekolah yang diseterika, ada lagi kedutan di beberapa tempat.  Saya menegur, kakak tidak puas hati.  Kali ini, saya cuba pendekatan lain pula.  

"Kakak, kalau kakak jadi cikgu lah kan.... kakak suka pada murid mana?  murid yang pakai kemas ke atau yang selekeh, baju tidak seterika, rambut tidak sikat, tak pakai bedak pun?  Ok... ummi tak nak tahu jawapannya, kakak tak payah beritahu, kakak jawab sendiri saja"

Selepas itu, saya tidak perlu beritahu lagi kakak untuk menyerika bajunya.  Apabila dilihat, baju kurung yang dipakai sudah berseterika elok.  Begitu juga baju sekolahnya.

Dengan adik pula, saya baru bertanya kepadanya.

"Adik...adik suka berkawan dengan budak yang comot ke dengan budak yang kemas, sikat rambut, pakai bedak, wangi."

"Tentulah budak yang bersih ummi..."

"Kenapa adik tidak suka kemas, lepas mandi tak nak sikat rambut, tak pakai bedak.  Orang pun macam tu juga.  Nanti orang tak nak kawan dengan adik".  Adik diam.  

Saya belum lagi dapat melihat hasilnya.  Nanti saya akan perhatikan samada pertanyaan saya itu melekat di fikirannya atau tidak.

Pertanyaan saya lagi kepada adik.  "Jika ada dua coklat, satu coklat tidak balut, dan satu lagi coklat, ada balut.  Adik nak makan coklat yang mana?"

"Adik nak coklat yang ada balut ummi."

"Coklat yang tidak balut mesti nanti ada semut kan?", saya memancing adik

"Yalah ummi, kalau coklat tak balut, nanti mesti semut, lalat pun hinggap.  Adik tak nak coklat tu"

"Ha.... begitulah juga dengan orang perempuan.  Allah perintah supaya orang perempuan pakai tudung, sebab orang lelaki suka tengok t***k orang perempuan.  Sebab itu, orang perempuan kena tutup dada dia dengan tudung.  Sebab itu Allah suruh orang perempuan tutup aurat, supaya, orang perempuan tidak menjadi seperti coklat yang tidak dibalut tu."  

Adik diam.  Kakak juga diam.  Harap-harap pendekatan begini lebih meresap ke dalam hati anak-anak.  Mudah-mudahan.

Sunday, March 20

Rainbow

Di suatu pagi yang nyaman, kakak ternampak pelangi yang samar-samar.

"Ummi, ada pelangi..."

"Iya..."

Tiba-tiba adik bersuara,

"Ummi, rainbow, rainbow...."

"Adik ni, asyik rainbow, rainbow, cakaplah pelangi.  Dok cakap rainbow nak jadi orang putih ka?", kakak bersuara.

"Kakak, kalau cakap orang putih pun, kita tetap orang melayu, tak kan jadi orang putih lah.  Habis tu, kalau kita cakap arab, kita jadi orang arab ke?", saya pula bersuara.

Kakak diam.

"Nanti adik tanyalah ustazah, pelangi di dalam bahasa arab apa...", saya mengusulkan kepada adik.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin