Wednesday, December 19

JJMK - Aktiviti Keluarga

Jalan-jalan masuk kampung (JJMK) - edisi penyerahan sumbangan persekolahan.  Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar pada 16 Disember yang lalu.  Untuk edisi jelajah amal yang kesekian kalinya ini, NGO wargakilang telah mengenal-pasti keluarga yang memerlukan sumbangan di daerah Selama dan Batu Kurau, Perak.

Kami sudah berazam ingin menjadikan aktiviti amal ini sebagai aktiviti keluarga untuk memberi pendedahan kepada anak-anak akan pengertian memberi kepada yang memerlukan dan hakikat mengembirakan mereka yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi mereka.

Alhamdulillah, rezeki pada hari itu, makan pagi dan tengahari telah ditaja oleh individu yang bermurah hati untuk memastikan peserta konvoi bergerak dengan hati yang tenang.



Dimulakan bismillah, kami memulakan konvoi pagi ahad itu.

destinasi pertama

Anak-anak pelik melihat rambutan berduri itu yang terdapat berhampiran rumah penerima sumbangan.  Setelah mendapat keizinan dari tuan rumah, kami dapat merasa buah pulasan yang agak jarang kelihatan sekarang ini.  En. suami menerangkan kepada anak-anak kenapa buah tersebut diberi nama pulasan, berkerut dahi mereka.


destinasi kedua

Perjalanan seterusnya...ke rumah anak yatim piatu enam beradik ini yang kehilangan kedua ibubapa mereka di dalam kemalangan jalanraya.  Sayu hati melihat wajah polos anak-anak kecil ini yang mengharapkan kasih dari nenek dan bapa saudara yang berpendapatan kecil untuk menampung anak sendiri serta sepupu mereka.

Saya berbisik kepada anak-anak, mereka perlu bersyukur kerana masih mempunyai ummi dan abah dan boleh meminta apa saja yang mereka inginkan.

destinasi ketiga

Berhenti sebentar di Masjid Ulu Sepetang ini untuk bergabung dengan konvoi yang datang dari KL.



Sumbangan seterusnya kepada sembilan keluarga.
kehairanan agaknya burung merak ini melihat banyaknya deretan kereta di perkarangan rumah

 Pondok kecil ini dihuni oleh sekeluarga 3 anak.  En. suami sempat memberi 'tazkirah' pendek kepada kakak yang bilik tidurnya seluas rumah mereka ini supaya tidak mensia-siakan nikmat yang Allah beri.  Hujan  lebat mengiringi kunjungan kami ke rumah ini.  Kesungguhan wargakilang menjalankan amanah mereka walaupun di dalam hujan yang mencurah-curah sangat saya kagumi.



Selesai berhenti untuk solat dan makan tengahari di Masjid An Nur, Jelai, perjalanan diteruskan ke rumah kecil ini.



Di destinasi terakhir kami di Pantai Besar, di dalam hujan yang mencurah-curah turun, kami disambut dengan sedikit jamuan (pulut + buah durian, ikan masin, pengat durian serta rambutan) oleh tuan rumah di  yang bermurah hati sudi menjadi host kepada pemberian sumbangan ini. 

Kena pula rumahnya betul-betul bersebelahan sungai cetek yang jernih airnya.  Tatkala kaum bapa sibuk menyampaikan sumbangan, kaum ibu melayan anak-anak yang sudah tidak sabar untuk merasai kesejukan air sungai ara.  Ketika bersembang dengan para isteri aktivis wargakilang, jika boleh, dengan ibu-ibu sekali ingin meredah air sungai itu tetapi memandangkan ramai di situ, memadailah hanya dapat merasa di gigi air saja.


Teringat seorang ibu penerima sumbangan di dalam loghat Sabahnya memberitahu tuan Monier supaya menyampaikan penghargaannya kepada pemberi sumbangan serta dia mendoakan peserta-peserta konvoi agar dirahmati Allah.   

Kegembiraan merekalah yang menyebabkan hati kami terpaut ingin turut serta di dalam jelajah amal ini pada setiap kali penganjurannya dan jika berkelapangan masa, InsyaAllah, kami akan mengikutinya lagi.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin