Lamanya tidak mengemaskinikan rumah ini, hampir-hampir bersawang.
Sepanjang dua minggu di tahun baru ini saya banyak berfikir dan bermuhasabah diri. Secara kebetulan (atau tidak?) Ust Zaharuddin di dalam status FB nya menulis tentang manfaatnya status yang diletakkan di dalam FB kepada orang lain, sedikit sebanyak tempiasnya juga terkena di batang hidung saya kerana saya menulis blog. Lama otak berfikir, bermanfaatkah blog saya ini kepada orang lain atau sekadar SS (syok sendiri) saja. Tujuan saya sebenarnya untuk meninggalkan kenangan tentang anak-anak dan keluarga untuk tatapan di kemudian hari. Atau mungkin patut diprivatekan saja, kemungkinan besar, kehilangan atau terlupa password juga ada.
Saya tidak mengemaskinikan blog ini di dalam waktu pejabat, kebiasaannya, saya akan mengarang pada waktu malam dan auto publish keesokan harinya. Sejak bermulanya rutin baru di dalam keluarga kami, susunan jadual saya dan suami masih lagi 'tunggang langgang'. Semakin umur mencecah 4 series, kepenatan bergerak kesana kemari kian terasa. Suplemen yang diambil (kadang-kadang lupa) harap-harap dapat mengekalkan kecergasan saya. Tiadalah daya kekuatanku melainkan dari kekuatanNya juga, La haulawala Quwata IllabilLah...
Saya kagum dengan ibu yang bekerjaya (termasuklah pengurus rumahtangga) yang tidak mempunyai pembantu (maid) yang dapat mengimbangkan masa mereka. Apalagi yang mempunyai anak ramai dan kecil-kecil belaka. Respek sungguh... saya yang mempunyai dua orang yang semakin membesar ini pun sudah kacau-bilau jadinya hehehe. Sebelum ini mereka berada di nursery/transit, jadi tugas saya hanya menghantar pada waktu pagi dan menjemput mereka pada waktu petang. Sekarang ini, sesudah mereka dipindahkan sekolah berdekatan rumah, rutin bertukar 360 darjah. InsyaAllah, alah bisa tegal biasa orang kata, cuma sementara hendak menyesuaikan diri dengan rutin baru saja.
Saya menguatkan diri dengan ingatan ini, "Jika kita dapat bersedekah masa, tenaga, wang ringgit kepada orang lain, kenapa tidak kita 'bersedekah' masa kita untuk anak-anak pula. Mereka adalah harapan kita untuk mendoakan kita kelak".
Adik bersolat @7 tahun
Sebelum ini, adik sudah biasa belajar solat di tadikanya dan kadang-kadang, dia akan turut bersolat di rumah - ikut mood. Saya memberitahunya, sekarang adik sudah 7 tahun, adik sudah perlu bersolat. Ketika ingin memulakan solat, adik selalu bertanya berapa rakaat yang akan ditunaikan. Dia hanya memilih rakaat yang sedikit, selalunya maghrib dan subuh! Perlu juga dipujuk untuk solat waktu lain, insyaAllah, lama-kelamaan melekat juga untuk bersolat 5 waktu. Kadang-kadang dia mengikut saya bersolat, kadang-kadang dia ingin bersolat sendiri. Saya akan duduk di sebelahnya sambil memasang telinga mendengar bacaannya di dalam solat.
Alhamdulillah, kakak tidak sesusah dahulu untuk disuruh bersolat. Dan sekarang kakak berada di fasa jika tidak mahu bersolat, boleh dipukul (tetapi ada caranya). Kerana itulah, syariat memberi tempoh dari 7 - 10 tahun untuk mengajar anak bersolat supaya mereka secara perlahan dapat merutinkan apa yang diwajibkan ke atas seluruh umat.
Bergilir menjemput anak-anak
Kami bergilir-gilir menjemput anak balik dari sekolah kerana kakak balik agak lewat berbanding adik. Jika seorang yang perlu menjemput pada dua waktu yang lain, rasanya 'pancit' juga dibuatnya.
Ketika pendaftaran anak-anak di KAFA, en suami pula mengambil giliran melakukannya kerana ketika hari pertama persekolahan tempohari, saya sudah berkorban 4 jam kuliah saya (yang masih tidak berganti lagi) untuk bersama mereka.
Adik teruja ke KAFA dengan baju peachnya kerana rakan sekelasnya juga turut belajar di KAFA.
Kakak dan adik diajar untuk berdikari dari usia sekecil ini berbanding saya kerana emak saya seorang surirumah, lain suasananya. Saya percaya, sedikit sebanyak, ianya akan mematangkan kakak untuk bertanggungjawab menjaga adiknya ketika kami tiada di sisi. InsyaAllah.
Kerja sekolah (Homework)
Adik sedang menulis senarai 19 binatang di dalam Bahasa Malaysia dengan nama Inggerisnya. Ketika tiba di nombor 4, saya lihat, adik sudah terbaring. Cuba lihat bantalnya apa? Selepas ini otak adik dapat meresap ilmu dari kamus itu lah nampaknya.
kasihan, keletihan... |
Saya bukanlah ibu yang sempurna, jauh sekali 'supermak' yang dapat melakukan banyak kerja pada satu masa. Tetapi, insyaAllah, saya masih mencuba menjadi memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik.
Saya sedang di dalam proses mencuba teknik ini yang diilhamkan oleh pasukan sifu PTS, Puan Ainon Mohd. Mungkin pembaca boleh juga mendapat manfaat dari blog Puan Khairulaniza ini.
Sebagai seorang ibu, saya juga bukanlah ibu yang terbaik. Namun, saya berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu yang soleha walaupun saya tahu daya saya terbatas. Puan, saya yakin, yang penting niat kita dan usaha yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Allah juga Maha Penyayang.
ReplyDeleteInsyaallah! Di sebalik kesusahan ada kesenangan.
Tahniah kerana menjadi ibu yang berusaha untuk mendidik anak-anak sebaik mungkin. Insyaallah! Anak-anak puan akan menjadi anak-anak yang soleh hasil didikan puan.
Ya Allah! permudahkanlah saudaraku ini dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Kauberikan. Semoga keluarganya menjadi keluarga yang mendapat ekbaikan di dunia dan akhirat.Amin!
Puan Khairulaniza,
ReplyDeleteInsyaAllah, selagi kita terdaya, kita cuba lakukan yang terbaik. Terima kasih di atas doa, semoga doa ini juga kembali kepada puan. Amin.