Saturday, August 6

Tinggi juga ujian...

Orang tinggi

Hari ke-5 saya berbuka di masjid.  Ijaz Ahmed, lelaki  kedua tertinggi di dunia (sumber) yang berasal dari Pakistan juga turut berada di situ.  Kata suami, tujuan kedatangannya untuk mengutip dana untuk pembedahan kaki di UK.  Kasihan melihat kesukarannya untuk bergerak dan juga untuk masuk ke dalam kereta.
 


Kata suami, dia melihat lelaki itu bersolat asar secara duduk di kerusi.  Adik yang memerhati bertanyakan saya kenapa kasutnya sebelah kecil dari sebelah besar (sedangkan saya tidak perhatikan kasutnya langsung).  Setelah melihat laman web berikut, barulah saya faham yang kasutnya sebelah ditinggikan tapaknya kerana kakinya tidak sama.  Saya melihat pergerakannya agak terbatas berbanding dengan kakinya yang panjang. 

Mak Cik Aminah

Ketika saya sedang beratur bersama anak-anak untuk mencedok nasi yang disediakan, saya melihat di satu meja, seorang mak cik berseorangan yang kelihatan agak sedih.  Memandangkan jemaah wanita dan lelaki diasingkan, saya menyertai mak cik itu kerana kami hanya bertiga.  Lengkaplah satu meja 4 orang. 

Kami mula bertukar cerita.  Ketika bercerita tentang dirinya yang berseorangan berbuka di rumah (suami berbuka di masjid atau surau), dia mula mengesat matanya teringatkan anak-anak.  Mak Cik Aminah masih menjalani rawatan terapi kerana strok yang dihidapinya selepas berpuasa enam syawal tahun lalu.  Bagi saya, mak cik Aminah sangat kuat kerana dia semakin sembuh dari strok di dalam tempoh setahun saja.  Disebabkan pergerakannya yang agak terbatas, jadi dia tidak dapat melaksanakan solat di masjid kerana kesukaran untuk berwuduk dan juga dia terpaksa bersolat duduk.  Mak cik Aminah juga pernah mendapat serangan jantung pada tahun 2008.

Bercerita tentang anak-anaknya, sekali lagi matanya dibasahi dengan airmata.   Kata kawan saya, orang yang mendapat strok sememangnya agak sensitif setelah menjaga ibunya terkena strok selama 5 tahun. Saya mengusap-usap lengannya menenangkannya.  Kata saya, mereka jauh (Johor dan Melaka), jadi susah juga untuk balik ke sini di dalam tempoh 2 hari.  Hanya ungkapan sabar dapat saya titipkan kepada mak cik Aminah.  Ketika itu saya terkenangkan juga emak sendiri yang berbuka bersama anak saudara di rumah.

Mak Cik Aminah ini bukan calang orangnya.  Dia mengajar Quran ketika  di rumah lamanya dahulu. Ketika bercerita, dia turut menyelitkan ayat dari Quran yang boleh dijadikan doa untuk keadaan tertentu.  Setelah mendapat tahu suami saya berniaga, dia berpesan supaya tidak meninggalkan solat dhuha serta membaca ayat seribu dinar.  Untuk kebahagiaan rumahtangga, ayat 21 dari surah Ar-Rum elok diamalkan.

Setengah jam bertukar-tukar cerita dengan mak cik Aminah, banyak yang saya pelajari dari realiti kehidupan  orang yang lebih berpengalaman.  Semoga mak cik Aminah sentiasa mendapat perlindungan dari Allah dan diberi kemudahan di dunia dan akhirat.

dihadapan pancuran air yang baru siap dibina

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin