Saturday, January 9

Melayan kerenah anak ke sekolah

Sudah seminggu persekolahan bermula.  Alhamdulillah, bagi ibu bapa yang anak-anak baru menjejaki ke sekolah mungkin boleh bernafas lega seketika sebelum bergelut semula dengan rutin harian yang tidak kurang penatnya - melayan kerenah anak yang baru memasuki alam persekolahan formal. 


Hari pertama

Bermula tahun ini, kakak bersekolah pada sesi petang.  Segala rutin sebelum ini terpaksa "disongsangkan" kerana pada tahun lepas, kakak bersekolah pagi.  Pagi, kakak akan dihantar ke transit beserta pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan beg transit untuk belajar fardu ain.  Segala macam pesanan diberikan kepada kakak  kerana ini pertama kali dia ke sekolah dari transitnya.  Alhamdulillah, urusan kakak memasuki tahun dua agak mudah kerana kakak sudah pandai berdikari.  Pada hari pertama, saya hanya menjengah untuk mengetahui di mana kelas kakak.

Hari pertama adik ke tadika, berjalan lancar.  Sebelum ini, adik berada di taska yang menjaga kanak-kanak 4 tahun ke bawah yang berada di rumah berkembar 1 tingkat di sebelah kiri.  Tadika 5 dan 6 tahun pula rumah di bahagian kanan dan hampir kesemua guru-guru tadika adik sudah pernah melihat mereka.  Memandangkan pada hari itu juga kuliah pertama bermula pada jam 8 pagi, maka, segala urusan dilakukan selekas mungkin supaya saya tidak lewat ke kuliah




Ketika mengambil kakak dan adik dari sekolah masing-masing, mulut saya becok bertanya itu ini tentang persekolahan mereka.  Adik menceritakan tentang beberapa orang rakannya yang menangis di sekolah.


"Nanti, kalau adik tengok kawan-kawan adik menangis, adik pujuklah, adik katalah, Siti kan ada," saya mengesyorkan kepada adik. 


Hari Kedua

Tidak seindah hari pertama!  Setelah menghantarkan kakak ke transit, kereta bergerak untuk ke tadika adik pula.  Ketika berhenti di hadapan tadika adik, adik yang masih tidur di dalam kereta dikejutkan.  Sambil menangis-nangis, adik bersuara,

"Adik tak mau pi sekolah, adik nak cuti!" 

"Adik kan dah lama cuti" saya cuba memujuk

"Adik tak mau pi, adik nak pi rumah tok"

Segala macam usaha untuk memujuk tidak berhasil.  Hati mula panas dengan sikapnya.  Manakan tidak, pada hari pertama, elok saja masuk ke tadika, dan beberapa orang kawannya dari taska juga berada di situ.  Cikgu tadikanya juga terkejut melihat perubahan sikap adik.

Hasil usaha untuk mendukungnya masuk ke tadika juga tidak berhasil.  Dengan kudrat 20kg nya, dia berhasil meleraikan diri dari dukungan.  Apa lagi, terbaringlah di atas jalan tar di depan tadikanya.  Dua orang guru tadika cuba mengangkatnya juga tidak berhasil.  Adik...adik... kakinya juga sedikit berdarah akibat meronta di atas jalan.

Saya menenangkan dahulu dengan membawanya ke kampus, kemudian mencetak watak kartun untuk diwarnakannya bersama kawan. Setelah memujuk lagi dengan pelbagai janji, juga tidak berhasil.  Sewaktu meninggalkannya di tadika (setelah dipegang oleh cikgu tadika), saya masih mendengar raungannya dari luar.  Terpaksa keraskan hati juga ketika itu.

Ketika balik, dengan cerianya dia bercerita,

"Umi, adik glamer lah hari ni, qeyau (nangis) di sekolah."

"Memang glamerlah... nanti orang tanya, Siti mana, Siti yang berguling atas jalan". 

Saya menambah, "Tak malu saja menangis depan  kawan-kawan"

Dia ketawa gelihati.  Geram ke tak geram?


Hari Ketiga

Sama seperti hari kedua, adik enggan ke sekolah.  Pagi-pagi lagi dia sudah memberitahu tidak mahu ke sekolah.  Baju sekolah yang dipakaikan kepadanya juga dibuka semula.  

Saya bertanya kepadanya, "Adik berikan 10 sebab kenapa adik tak mau pi sekolah"


"Budak tu suka buat adik...", jawabnya.


"Lagi?"


"Budak tu cubit adik"


"lagi?"


"Budak tu tampar adik"


"Baru tiga...", sambil menunjukkan jari saya.



"Budak tu tendang adik"


"Ok... lagi?"


Kali ini dia terdiam.  Kehilangan alasan agaknya.


Setiba di sekolah, abahnya berjaya mendukung dan memujuknya.  Tangisan masih ada, tetapi sudah berkurangan berbanding hari sebelumnya.  Ketika hendak meninggalkannya, dia memaut kaki abahnya... hehehe... ala-ala hindustan pun ada.  Akhirnya cikgu tadikanya berjaya meleraikan sambil berkata,

"Ok... nanti umi ambil awal ya"


Petang ketika mengambilnya di tadika, adik tersenyum simpul.  Katanya cikgu berikan gula-gula dan keropok pada budak yang rajin datang sekolah dan tidak menangis.  Hmmm....


Hari keempat dan kelima

Alhamdulillah, adik sendiri memberitahu yang dia akan berjalan sendiri masuk ke tadika.  Untuk dua hari terakhir minggu lalu, adik ternyata ceria semula untuk ke sekolah.  

Ini antara cebisan kerenah anak-anak kecil yang perlu dilalui oleh ibubapa ketika awal persekolahan dan mungkin juga beberapa ketika di pertengahan persekolahan.  Saya kagum dengan kesabaran guru-guru tadika melayani kerenah anak-anak yang ramai, sedangkan saya yang seorang ini pun, sudah kelam-kabut! 

2 comments:

  1. dia kata budak kelas lain...6 tahun agaknya. dulu masa taska pun gitu juga, ada sorang boy ni suka kacau dia (bukan dia sorang saja, budak lain juga), sampai qeyau2 tak mau pi taska juga. Bila budak tu cuti sebab mak dia bersalin, dia pun dengan senang hati dah tak qeyau pi taska.

    ReplyDelete

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin