Thursday, December 4

Misteri

Beberapa hari lepas, kami sekeluarga menonton sebuah dokumentari "Against All Odds" samada di National Geographic atau Discovery Channel, saya kurang pasti. Segala isu yang diutarakan berkaitan dengan keajaiban di dalam dunia perubatan.

Apa yang paling terkesan di hati ialah kisah seorang wanita, Pam yang menghidap sakit kepala kronik akibat saraf di pangkal otaknya membengkak. Doktor terpaksa "mematikan" Pam secara klinikal dengan menurunkan suhu badannya ke paras hiportemia, di mana jantung dan otak Pam berhenti berfungsi untuk beberapa ketika sebelum melakukan pembedahan yang agak sukar. Ternyata pembedahan itu berjaya.

Apa yang menarik perhatian neurosurgeon serta doktor dan jururawat yang bertugas adalah, selepas Pam di"hidup"kan semula, Pam dapat menceritakan yang dia melihat segala prosedur pembedahan secara terperinci, serta dapat mendengar bunyi serta perbualan serta perincian tentang peralatan yang digunakan oleh neurosurgeon itu. Mereka kehairanan kerana sepatutnya otak Pam tidak berfungsi ketika itu, serta matanya ditutup pita pelekat. Mana mungkin dia dapat melihat pembedahan itu? Inilah persoalan yang sains tidak mampu untuk menerangkannya. Pam juga masih mencari jawapan bagaimana peristiwa ini terjadi kepadanya.

Bagi saya yang kurang pengetahuan ini, kemungkinan roh Pam yang berada di situ memerhatikan segala proses yang berlaku kepada tubuhnya. Sains tidak mampu untuk merungkai alam roh kerana ini merupakan ilmu sam'iyat yang tidak mampu dicapai oleh logik akal fikiran. Semoga Pam bertemu jawapan kepada persoalannya di dalam agama Islam.

1 comment:

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin