Thursday, November 6

Cuti-cuti Malaysia

Semalam sewaktu memandu, sambil melayan radio IKIM, terdengar rancangan bual-bicara pakar motivasi Alihan Pelajar yang terkenal, Tengku Asmadi bercerita tentang program cuti sekolah. Sebagai ibubapa, seharusnya kita bijak mengaturkan masa untuk anak-anak ketika cuti. Jangan sampai dibiarkan masa cuti anak-anak berlalu begitu saja tanpa ada pengisian yang bermanfaat. Bukan tidak boleh bercuti dan melancong, tetapi ujar beliau, berapa kerat keluarga yang membawa anak-anak melancong serta melawat ke tempat-tempat seperti Pusat Sains, Planetarium atau Petrosains. Janganlah diharap pada rombongan sekolah saja untuk dibawa ke tempat-tempat seperti itu. Biarlah anak-anak ini belajar dengan melihatnya secara realiti. Ujarnya lagi, jika keluarga yang berada di bandar, apa salahnya bawa anak melancong ke kampung-kampung supaya mereka dapat melihat kehidupan serta menghargai kehidupan kampung.

Nota saya: saya pernah membawa anak-anak ke Petrosains ketika cuti sekolah, masyaAllah, ramainya manusia. Akhirnya tidak jadi masuk kerana hilang tumpuan untuk menikmati segala pameran yang ada. Terpaksa membawa mereka ke Planetrium Negara ketika bukan hari cuti sekolah, tetapi selepas ini bagaimana? Anak sudah mula bersekolah, dan untuk membawa mereka melancong hanyalah ketika cuti sekolah. Terpaksa berasak-asak dengan keluarga-keluarga yang lain. Baru-baru ini, kementerian pelancongan menyeru agar rakyat malaysia mengutamakan cuti di dalam Malaysia, tetapi, harga hotel juga meningkat mahal ketika cuti sekolah...begitu juga harga-harga yang lain, sewa kereta, barangan....aduhai cuti-cuti malaysia!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin