Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.
Ada getaran di jiwa, ada sebak yang tidak terungkai sekembalinya dari misi pasca banjir NGO Wargakilang. Sangat terkesan melihat kemusnahan di dalam skala yang besar dan insan yang kerdil ini tidak mampu untuk membantu semua :( Sekadar memujuk hati sendiri, teringat kisah pipit yang cuba memadamkan api marak yang membakar Nabi Allah Ibrahim a.s. Sekurang-kurangnya inilah tanggungjawab kelak disoal, usaha yang teramat kecil yang telah dilakukan untuk membantu.
Tidak terbayang bagaimana dahsyatnya air melanda, di dalam kekalutan menyelamatkan diri, ianya mungkin gambaran kepada dahsyatnya hari kiamat.
Tanggungjawab kami adalah menyampaikan set tajaan alatulis oleh sahabat-sahabat budiman dan ahli qaryah masjid At-Taqwa untuk anak-anak mangsa banjir ini. Bukan nilai yang dikira, tetapi sumbangan untuk memberikan sedikit keceriaan kepada anak-anak yang dilanda ujian ini.
Biarpun berada di dalam suasana yang tidak menentu ini, kami amat berbesar hati kerana ada makcik penerima sumbangan turut menghidangkan air teh o panas kepada kami para peserta konvoi. Biarpun serba kekurangan ini, mereka masih memuliakan 'tetamu' yang datang menziarahi mereka.
bumbung yang sedikit terangkat dari tiangnya |
relatif ketinggian air bah |
paras air terkini (17hb) |
bahagian atas yang hanyut entah ke mana |
tapak asal rumah ini adalah di bahagian belakang |
relatif ketinggian air bah |
entah berapa lama lagi akan kembali seperti sediakala |
sebelum (google streetview) dan selepas |
Hati tertinggal di sana, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Semoga mereka tabah menghadapi ujianNya dan diganti dengan yang lebih baik hendaknya. Kembara yang menginsafkan betapa Allah berkehendakkan sesuatu berlaku 'Kun Fayakun', maka berlakulah ia dengan sekelip mata, melangkaui akal manusia yang tidak terjangka bah besar akan melanda.
Terima kasih kak Ros yang dikenali beberapa tahun lalu di medan jjmk yang menyediakan penginapan kami secara percuma. Budi baik kak Ros tidak akan kami lupa, InshaAllah, bertemu lagi di lain masa, jika diizinkan yang Maha Esa.