Saya boleh katakan tidak 100%, ada ketika 'menyusahkan' jalan pun ada... ini terjadi ketika kami berkelana di Kelantan tempohari. GPS akan memberi jalan yang ter'pendek' dari segi KM, tetapi tidak masa. Ada ketika jalan yang dicadangkan itu masuk ke ceruk kampung yang entah ke mana-mana.
Pertama kali ketika berada di Lebuhraya pantai timur (LPT). Ketika tiba di Grik, GPS mencadangkan kami ke Pengkalan Hulu. Kami abaikan GPS dan meneruskan perjalanan mengikut LPT itu. Ketika tiba entah di mana, GPS mencadangkan kami jalan yang kami nampak hanya satu lorong masuk ke kampung saja. Entah di mana jalan itu boleh menembusi jalan besar agaknya.
kami... |
Yang paling kelakar ketika di dalam perjalanan balik dari Masjid Kg. Laut di Nilam Puri. Kami ingin mengelak jalan yang sibuk dan sudah bersedia untuk membuat pusingan U di simpang lampu isyarat di hadapan. GPS mencadangkan kami masuk ke sebatang jalan (yang kami sangka, jalan alternatif untuk balik ke hotel), rupanya...jalan kampung satu lorong yang mempunyai sebuah jambatan melalui sungai kecil yang muat sebuah kereta saja! Adik sudah menjerit-jerit di belakang tidak mahu melalui jalan tersebut. Fuh... rupa-rupanya jalan kampung itu menembusi jalan besar yang asal tadi.
Oh... ada sekali lagi, ketika di dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. GPS memberikan jalan pintas yang melalui Universiti Malaysia Terengganu! Ketika suami membelok kereta (malam), kami ternampak anggota polis (yang disangka sekatan jalan raya), rupa-rupanya kami menghampiri pintu masuk ke UMT. Hahaha... sabar jelah GPS ini... betul-betul short-cut! Tersenyum pak guard ketika kami nyatakan GPS menunjukkan kami jalan tersebut. Memang betullah jalan itu bertemu kembali jalan besar untuk ke Kuala Terengganu.
Ketika ke rumah kakak saya pula, ketika kami keluar makan malam di Restoren Mohd Chan di Klang Sentral, saya sengaja menghidupkan GPS untuk melihat jalan yang dicadangkan ketika balik. GPS mencadangkan masuk ke jalan di dalam ladang kelapa sawit untuk tiba ke rumah kakak saya. Abang ipar saya ketawa besar sambil memandu (sudah tentu cadangan itu diabaikan!).
Pendek kata, GPS boleh diharap di tempat-tempat yang kita tidak biasa, akan tetapi, dengan syarat, harus juga melihat papan tanda yang ada. Jangan sampai ada yang termasuk ke dalam laut sudahlah gara-gara mengikut GPS. GPS 'hidup' paling berguna untuk memberi panduan perjalanan dengan bantuan GPS robot!
Saya membandingkan GPS dengan navigation yang diberikan oleh google map di dalam tablet, ada ketika jalan yang diberikan tidak sama.
Pengalaman pertama dengan GPS ini ada yang melucukan. Selepas ini mungkin lebih awas dengan tanda-tanda jalan kecil yang diberikan, tetapi tidak dinafikan ianya juga membantu ketika kita tidak biasa dengan satu-satu tempat itu.
Penutup cerita, layankan popcorn bergula homemade yang disediakan oleh kakak saya yang tiada kena-mengena dengan tajuk!
sedap! |