Beberapa hari ini, adik asyik menyanyikan lagu niat berpuasa yang didendangkan oleh Raihan. Nampaknya dia sangat teruja untuk berpuasa. Hari-hari bertanyakan bilakah akan mula berpuasa. Ketika dia berusia 5 tahun, dia hanya berpuasa separuh hari. Ada ketika sudah tiba ke waktu petang jam 3 atau 4. Kasihan melihat dia kehausan. Itupun saya biarkan adik 'bersahur' pada jam 7 pagi. Hehehe. Kadang-kadang dia juga bangun untuk bersahur bersama-sama.
Ketika balik dari sekolah, ketika melalui kawasan kampus, kakak ternampak kain rentang buffet berbuka puasa.
"Ummi, tu ada buffet RM12 untuk orang dewasa, RM9 untuk budak-budak". Saya sendiri pun tidak mengambil pusing tentang buffet ramadhan yang ditawarkan di mana-mana.
"Kakak, dengan RM12 itu, kita boleh beli lauk untuk makan 4 orang. Berbuka bukan larat nak makan banyak-banyak. Tidak tepat juga lah maksud berpuasa untuk merasa kesusahan orang miskin."
"Ummi, orang miskin ada yang tak bersahur pun kan?", sampuk kakak
"Bukan bersahur saja, mungkin berbuka pun tak ada makanan. Sedangkan kita beli bermacam-macam makanan, tidak habis, buang. Kan membazir namanya"
Dulu, ketika syarikat lama saya mendapat undangan berbuka di hotel-hotel, kami yang bujangan inilah terpaksa memenuhi undangan tersebut. Kakak-kakak senior yang sudah berkeluarga sentiasa menolak. Terpaksalah kami ini berkorban (kerana bujang) untuk memenuhi undangan walaupun tanpa kerelaan. Alahai, berapa banyak sangatlah makanan dari berbaris-baris hidangan yang dapat masuk ke perut selepas seharian berpuasa. Tidak padan dengan harganya RM40-50++ seorang! Dan mulalah menjadi berat untuk bangun bersolat maghrib kerana kekenyangan. Saya lebih suka (ketika itu) berbuka bersama teman-teman serumah dengan sejenis menu, jika ada pun, bertukar-tukar dengan rakan-rakan sebilik, terasa ukhuwahnya di situ. Selalunya teman serumah yang bekerja separuh hari itu akan masakkan lauk beserta sayur kerana hobinya suka memasak! Untung kami.... Kenangan bersama Yati, K.Maznah dan Allahyarhamah Noriah sentiasa kekal di ingatan.
Kini, ramadhan bakal menjelma lagi. Akan bertemu lagikah ramadhan akan datang?
Ketika mengakhiri kelas semalam, saya sempat bersuara kepada anak-anak murid,
"Hidupkanlah ramadhan seolah-olah ini adalah ramadhan terakhir kita"
"Puan, jangan cakap begitu..."
"Kita pastikah yang kita akan bertemu dengan ramadhan tahun depan?", mereka menggeleng sambil tersenyum.
Semoga titipan yang sedikit itu meresap ke dalam hati saya dan juga mereka. InsyaAllah.
assalamualaikum Hasfa
ReplyDeletedi sini pun, suasana kolej dah mula terasa bahang nak puasa. anak2 antara yang semnagat nak sambut puasa, tapi tak tahulah, adakah mereka mampu nak puasa penuh..
w'salam kak ummu,
ReplyDeletedi mana-mana pun terasa bahangnya puasa. Raya juga k.ummu..sudah ada banner jualan hari raya di mana-mana hehehe. Anak-anak tidak perlu dipaksa, tetapi ikut kemampuan diri mereka kan kak? Tapi yang pastinya, sesudah baligh, mereka sudah boleh berpuasa penuh.