Wednesday, October 13

Nilai sebuku roti...

kepada seorang kaya...
kepada seorang faqir...
kepada yang kenyang...
kepada yang lapar...

Biarpun hanya sebuku roti yang sama, jika penerima di dalam golongan yang berlainan, lain pula penerimaannya.  

Kebiasaannya, jika saya mempunyai kuliah jam 8 pagi, sarapan saya seringkas mungkin, sandwich dan juga air mineral.  Jika hari lain, kadang-kadang sempat juga bersarapan agak berat seperti nasi lemak atau roti canai atau roti jala bercicahkan kuah kari bersama teh tarik kurang manis, itupun jika bersama suami.  Tetapi bilangan teh tarik di dalam seminggu hanyalah 1 atau 2 kali sahaja.  Ok agaknya bagi saya yang paras kolestrolnya berada di tahap border line.  Jarang sekali dapat bersarapan dengan rakan-rakan sepejabat sewaktu semester kuliah berlangsung.

Ketika berjalan menuju ke kiosk yang menjual sandwich, roti dan bun, ops... tutup pula.

Adakah bermakna saya terpaksa menahan perut sehingga jam 11 pula.  Hmm... nampaknya, begitulah.  Akan bernyanyilah perut ini.  Peliknya ketika berpuasa tidak pula begitu.

Ketika bersiap untuk menyediakan bahan pengajaran ke dalam beg hijau yang selalu dibawa ke kelas, eh... apa ni? Roti? Hehehe...sungguh...rezeki namanya.  Alhamdulillah.

Sambil menikmati roti hijau lembut yang berintikan jem blueberry itu, otak saya ligat memikirkan bagaimana roti itu boleh berada di dalam beg saya. 

Ini mesti kerja si budak kecik itu... Semalam suami membeli 4 buku roti, suami makan 2, apabila ditanya, adik sudah menyimpannya 1. Mana lagi 1?  Ummi tidak makan.  Kakak sudah tidur.

Memang kerja si adik.  Dia terlupa yang dia memasukkan roti itu ke dalam beg ummi.  Misteri terjawab tentang 'kehilangan' sebuku roti.

Begitulah nikmatnya jika kita benar-benar perlukannya.  Begitu juga pemberian ikhlas kita kepada golongan yang memerlukan.  Biarpun nampak kecil di mata kita, tetapi, begitu besar di pandangan mereka.  Marilah kita salurkan sedikit hasil dari habuan yang diterima tiap-tiap bulan untuk golongan yang tidak bernasib baik.   Tidakkan muflis kita dengan sumbangan yang dikeluarkan itu.  Jangan pula kita muflis di akhirat kelak.  Wallahu'alam.  (Peringatan untuk diri ini juga yang selalu terlupa). 

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin