Sedang si ayah menunaikan sunat terawih di masjid/surau, para ibu masih sibuk dengan anak-anak. Sudah tentu tidak ingin terlepas pahala sunat terawih yang cuma dilakukan ketika berkunjungnya Ramadhan.
Teringat ketika masih belum berumahtangga, kakak senior yang sudah melalui asam-garam berumahtangga berpesan...ketika masih bujang ini, tumpukanlah sepenuh perhatian pada amal-ibadah kerana nanti, ibadah lebih kepada menjaga anak-anak, suami dan rumahtangga. Saya tersenyum. Selepas beranak-pinak ini, barulah saya mengerti. Namun, jangan bimbang, menjaga anak-anak, suami serta rumahtangga juga merupakan ibadah!
Malam pertama Ramadhan, ketika menunaikan terawih di rumah, anak-anak riuh-rendah diluar bilik, seolah-olah lebih dari 2 orang jadinya! Saya biarkan saja mereka, sekejap kakak menyebabkan adik menangis, ketika lain, kedengaran dia pula memujuk! Kanak-kanak!
Tadi, sewaktu hendak menunaikan 2 solat terakhir terawih, adik datang menghampiri, dia memberitahu dia buang air besar. Hmm...mujur juga sudah memakai diaper. Saya meneruskan solat terakhir. Sesudah memberi salam, dia masih di sisi saya sambil duduk bersila...dia beritahu lagi. Saya ingin habiskan doa terawih. Sambil membaca doa, saya lihat dia sudah tersengguk-sengguk sambil bersila. Gelihati pula melihat gelagat adik.
Selesai urusan saya, saya sudahkan urusan adik. Hmm...malam ini, adik sudah 'tewas' seawal 9.30 malam. Selalunya, masa tidurnya melewati jam 11 kerana dia akan berjaga selagi lampu masih menyala! Sememangnya dia mengantuk kerana pada siangnya, dia tidak langsung melelapkan mata kerana ikut bershopping. Persiapan baju raya mereka telah disiapkan seawal mungkin kerana tidak suka bertembung dengan orang ramai yang berpusu-pusu ke pusat membeli-belah di saat-saat akhir. Alhamdulillah, sudah selesai.
Sesampai di rumah, sambil mencuba-cuba baju baru, dia enggan menanggalkan bajunya. Bila dah berkenan, susah pula! Dia agak cerewet dengan baju, ada saja pilihan baju yang tidak menepati kehendaknya. Alhamdulillah, tadi ketika membeli, tidak seteruk cerewetnya memilih baju seperti tahun lepas, di mana kami menghabiskan masa di 2, 3 pusat membeli-belah untuk memilih baju dia sahaja!
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?