Pages

Sunday, July 31

Perbualan singkat....

Ketika sedang menunggu suami memilih kasut/sandal di sebuah pasaraya, saya dan anak-anak duduk di kerusi yang disediakan di bahagian berkenaan.  Di sebelah saya, seorang mak cik juga sedang menunggu seseorang.  Mak cik itu ramah memulakan bicara.  Berbahasa, masing-masing bertanya dari mana datangnya.

Selalunya perbualan singkat saya dengan sesiapa tidak begitu berbekas di hati.  Tetapi tidak dengan mak cik ini.

Mak cik berwajah jernih itu bercerita tentang menantu perempuannya yang baru seminggu meninggal dunia kerana pneumonia.  Sudah setahun terlantar di hospital Bukit Mertajam dan baru beberapa bulan dibawa balik ke rumah serta tidak boleh berjalan. Seminggu lalu, dia mengadap Allah di dalam tidur.  Umurnya baru 35 tahun.  Kedatangan mak cik itu ke sini untuk menghadiri majlis tahlil yang diuruskan oleh besannya.

Apabila ditanyakan tentang anaknya, mak cik itu memberitahu, mereka mempunyai 3 anak, yang sulung, berusia 9 tahun (sama umurnya dengan kakak), yang tengah, 5 tahun (muda setahun dari adik) dan yang paling bongsu, 3 tahun.  Kata mak cik itu, si kakak sudah faham dan menangis, tetapi si bongsu seolah tidak mengerti apa-apa tentang kematian. Ya Allah, kecil-kecil lagi sudah kehilangan ibu tempat mereka bermanja.  Tiba-tiba terkenangkan sahabat yang meninggal di usia awal 30-an yang meninggalkan anak berusia 7 tahun dan 4 tahun ketika itu. 

Selepas bersalam dengan mak cik itu dan dia berlalu pergi, saya masih terkenangkan kisah  anak dan menantunya itu.  Ya Allah, betapa mereka diuji ketika menghampiri bulan yang mulia ini.  Anak-anak itu...sebaya anak-anak saya...bagaimanalah perasaan mereka.  Ya Allah... tidak tertahan air mata saya memikirkan anak-anak itu.

Berikanlah pahala kepada keluarga mereka di atas ujian ini dan semoga mereka mendapat ganjaran yang lebih baik dari ujian ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” (sumber)

Walaupun saya tidak mengenali siapa dia, semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya seperti dalam keadaannya seperti seorang bayi yang baru dilahirkan dan beroleh kebahagiaan di alam sana setelah menderita di dunia ini. 

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?