Saturday, August 6

Ini Kisahku - PhD

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Agak lama tidak menjengah 'rumah' yang satu ini ;;)

Lamanya tidak menulis di sini bukan bermakna minat itu sudah berkubur.  Disebabkan keterbatasan masa, maka, dahulukanlah yang mana yang lebih layak didahulukan.  Priority comes first.

Sudah lama ingin berkongsi kisah suka-duka perjalanan PhD yang sudah berakhir dengan rasminya pada 30 April 2016 yang lalu.  Ianya perkongsian pengalaman penulis untuk sahabat-sahabat yang akan/sedang mengharungi perjalanan PhD, semoga ada manfaatnya.  Jika kelihatan ada bayangan menunjuk-nunjuk, saya mohon keampunan dariNya - أستغفر الله

Konvokesyen ke-53 Universiti Sains Malaysia

Penantian dalam debaran selepas menghantar draf tesis untuk viva voce pada hari Jumaat, 10 Muharram 1436H bersamaan dengan 23 Oktober 2015 berakhir pada tanggal 2 Mac 2016. Alhamdulillah, selama 2 jam viva voce berlangsung dalam suasana yang agak tenang dan 'santai' (bagi saya) menghilangkan gemuruh menghadapi sesi yang sangat genting untuk seseorang yang bergelar seorang pelajar.



Tesis akhir berkulit tebal dihantar ke universiti pada hari Isnin, 28 Mac 2016.  Alhamdulillah.  Tanpa disedari, air mata gugur perlahan di pipi sebaik saja keluar dari pejabat Institut Pengajian Siswazah, USM :"> Mujur tiada sesiapa di situ :D :D (malu weh!).  Ianya perasaan yang sukar digambarkan, tersangat lega, syukur, semuanya terangkum menjadi satu setelah berhempas-pulas menyiapkan tesis serta pembetulan selepas viva voce.  

Cabaran menyiapkan PhD di dalam tempoh yang diberikan tetap ada.  Setiap orang cabarannya berbeza.  Bagi saya (dan mungkin yang lain-lain), PhD bukan sahaja semata-mata segulung ijazah yang diperolehi selepas perjalanan panjang itu sahaja, tetapi ianya lebih kepada menghadapi cabaran yang mungkin mematikan semangat untuk meneruskan perjalanan yang panjang.  It is how you response and react that matters.  Hasilnya menjangkau ilmu yang diperolehi ketika PhD itu sendiri.

Perkongsian saya ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian Sebelum, SemasaPenghujung dan Sampingan untuk melancarkan penceritaan.

A. Sebelum

1. Mohon restu dari suami / keluarga.

Sebelum saya memulakan langkah pertama, perbincangan dari 'hati ke hati' telah dibuat dengan suami kerana perjalanan PhD yang panjang, sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan berumahtangga. Suami perlu faham bahawa sepanjang tempoh PhD, kemungkinan kekemasan rumah akan terabai, layanan mungkin berkurangan, dan lain-lain faktor yang mungkin boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.  Alhamdulillah suami menyokong penuh hasrat saya, itu sudah memadai.

Mak saya juga sangat memahami keinginan anaknya ini untuk belajar dan belajar. Antara pendorong saya untuk mencapai ke tahap tertinggi akademik adalah almarhum bapak yang telah dijemput kembali pada 1 Jun 2006 ketika saya baru mendaftarkan diri sebagai pelajar sarjana. Tidak sempat almarhum menyaksikan konvokesyen sarjana dan PhD ini.  Andainya beliau masih ada untuk menyaksikan kejayaan ini....:(

2. Mohon petunjuk/ilham dari Allah

Saya membuat istikharah agar perjalanan PhD ini mendapat keredhaan dariNya.  Jika ini keputusannya, maka segala ujian dan halangan yang mendatang, saya harus menghadapinya kerana jalan ini yang telah dipilih dengan ilham dari Allah swt.

3. Rancang pembiayaan pengajian.

Saya memilih untuk memohon biasiswa dan cuti belajar dari majikan kerana status yuran yang agak tinggi ketika itu di universiti tempatan.  Saya tidak mampu meneruskan secara part-time kerana ketika membuat pengajian di peringkat sarjana, kehidupan saya sedikit terganggu untuk membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan pembelajaran, ianya tidak mudah.  Hanya saya mengetahui kemampuan diri saya sendiri.

Saya sangat memandang tinggi kepada mereka yang dapat meneruskan pengajian secara separuh-masa beriringan dengan tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya, massive respect!

  • Biasiswa 2011 - tidak berjaya! :D :D (tidak berputus-asa, cuba lagi) 

bersama rakan-rakan dari fakulti sama yang berjaya di dalam temuduga biasiswa 2011

  • Biasiswa 2012 - Alhamdulillah, berjaya di dalam percubaan kali kedua! :-bd
Tanggungjawab diberikan kemudahan biasiswa dengan cuti belajar ini dimanfaatkan sepenuhnya. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa ini lebih kepada 'amanah' bukan 'hadiah' yang telah diberikan untuk saya mendapatkan PhD ini, dan amanah ini adalah hasil dari duit rakyat.

Ingatan inilah yang menjadi pendorong untuk menghabiskan pengajian di dalam tempoh yang diberikan (namun terlebih sedikit dari tempoh sebenar :">.)

4. Merisik khabar dengan bakal penyelia.

Allah telah mengatur perjalanan PhD saya bermula dengan perkenalan secara tidak dirancang dengan penyelia ketika di peringkat sarjana lagi.

Al-kisahnya ketika di peringkat sarjana, agak sukar mencari penyelia yang sanggup menyelia pelajar part-time seperti saya.  Setelah dicadangkan oleh seorang pensyarah ketika itu, saya memberanikan diri bertemu Professor Ahmad Shukri Yahaya yang akhirnya bersetuju membimbing disertasi sarjana saya.

Maka hubungan penyelia-pelajar ini dilanjutkan lagi di peringkat PhD kerana saya serasi dengan Prof. yang banyak membantu sepanjang pengajian.  Elemen keserasian ini amat penting untuk mewujudkan suasana harmoni dan tiada tekanan di antara penyelia dan pelajar.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan penyelia yang sangat supportive dan banyak membantu ketika saya mengalami jalan buntu di dalam pengajian.

5. Bersabarlah dengan proses semasa permohonan

Bersabarlah ketika berhadapan dengan borang yang pelbagai, bermacam-macam proses dan prosedur yang perlu diikuti.  Jika perkara ini tidak dapat dihadapi dengan sabar, bagaimana mungkin ingin menempuh perjalanan panjang selama 3 tahun untuk pengajian PhD.


B. Semasa

1. Persediaan memenuhi pra-syarat yang ditetapkan oleh Universiti.

Walaupun ianya hanya sekadar pra-syarat yang tidak memerlukan gred yang baik, saya tetap berusaha untuk mendapat keputusan yang terbaik kerana subjek ini adalah satu-satunya kursus yang perlu diambil berbanding adik-adik sarjana yang lain.  Malulah jika dapat keputusan yang kurang dari mereka ;;)

dengan ahli kumpulan melaksanakan tugasan mencerap kadar kebisingan kenderaan di pintu masuk USM

2. Milestone pengajian

Saya menampal milestone  atau kerangka pengajian yang telah ditetapkan di board di hadapan meja belajar.  Ianya berfungsi sebagai reminder kepada saya sekiranya kemajuan pengajian agak terbelakang dari yang sepatutnya, maka usaha perlu dilipat-gandakan untuk memastikan pencapaian berada di tahap yang sepatutnya.

Milestone ringkas saya

3. Cover page

Saya memperolehi tips ini dari pembacaan beberapa tahun lampau.  Saya tampalkan cover page 'bakal' tesis saya di hadapan meja sebagai motivasi untuk menghasilkannya pada masa yang ditetapkan.  Ianya telah dipraktikkan ketika saya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana lagi. Dan ianya secara tidak langsung merupakan doa yang dipanjatkan ketika melihat cover page berkenaan agar ianya dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.

harapan agar ianya dapat disempurnakan
4. Kerangka tesis

Seawal pengajian, kerangka tesis yang telah diadaptasikan dari disertasi di peringkat sarjana telah disediakan.



Setiap carian maklumat jurnal yang dirasakan berkaitan dengan kajian, dicopy and paste ke dalam bab yang berkaitan beserta sumber dari mana ianya diperolehi.  Tidak mengapa jika bukan semua maklumat awal ini digunakan semasa proses penulisan akhir :D

Dari masa ke semasa, penyelia ingin melihat draf bab-bab tertentu.  Penulisan tesis saya sudah bermula seawal pengajian saya lagi, bukan menunggu sehingga ke saat akhir.

5. Research Group

Alhamdulillah, kewujudan research group di peringkat unit ini sedikit sebanyak membantu saya berada di dalam landasan yang betul dan tidak merasa 'keseorangan'.  Nampaknya, saya adalah antara pelajar yang paling 'berpengalaman' di dalam kumpulan adik-adik ini, terasa muda apabila dikelilingi oleh mereka ;;) ;;) :D :D

selesai perjumpaan dan meraikan sambutan 'hari guru' untuk penyelia-penyelia

Kekerapan pembentangan di peringkat kumpulan ini menjadikan saya perlu sentiasa up-todate dengan pengajian.

6. Kumpulan sokongan (Support Group)

Saya turut mendaftar diri di dalam support group di media sosial untuk mendapat tips atau motivasi dari mereka yang berpengalaman dan juga yang sedang melalui perjuangan sama.

Walaupun saya menjadi silent reader/member, tetapi perkongsian dari ahli-ahli kumpulan sedikit sebanyak membantu saya mengharungi tempoh ini.  Ianya lebih menyedarkan saya bahawa, walau terasa perit ujian dan cabaran yang dilalui, ada ahli kumpulan yang lebih teruk diuji hidup mereka sepanjang tempoh pengajian ini.

7. Kursus yang berkaitan dengan pengajian

Adanya kursus-kursus yang disediakan oleh pelbagai pihak untuk membantu pelajar di dalam pengajian tidak harus dilepaskan.  Ianya membantu mempercepatkan proses penulisan tesis saya ketika itu.

Bengkel Reference Manager menggunakan perisian Mendeley dan Formatting Thesis using MS Word yang dihadiri dalam tahun pertama dan kedua pengajian banyak membantu di dalam pengajian saya.  Lengkapkan ilmu dengan perisian yang berkaitan di dalam pengajian kerana ianya dapat membantu memahami sesuatu perisian yang digunakan.

MS Word for Thesis yang dikendalikan oleh Tuan Dr. Zuli, pensyarah UiTM Melaka - Nov 2014
Bengkel Turn-it-in dikendalikan oleh Tuan Saifulnizam, pensyarah UiTM Pulau Pinang - Mei 2015

8. Ringan tulang

Ringankan tulang untuk membantu penyelia dan rakan-rakan seperjuangan walaupun di dalam sekecil-kecil perkara.

Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke’aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.” (H.R Muslim)

Workshop Design of Engineering Experiment - Oktober 2013

9. Sentiasa back-up bahan-bahan pengajian

Ini teramat penting bagi seorang pelajar.  Ianya boleh mengundang kekecewaan jika data atau penulisan yang selama ini dijaga, ditatang sepenuh hati tiba-tiba hilang.

Ketika saya menganalisa data di tahun kedua, laptop saya mengalami hard disk crash!  Agaknya terlalu terbeban ketika membuat analisa yang memerlukan data yang dirun berulang-ulang kali. Alhamdulillah, masih ada data yang terselamat setelah dibuat back-up sebelumnya.

Antara back-up yang saya gunakan adalah dropbox, external hard disk dan juga email.


C. Penghujung

Sabar, sabar dan sabar

Di penghujungnya, terutamanya ketika di peringkat penulisan tesis, ianya adalah fasa yang paling mencabar.  Ketika ini, tidur saya menjadi tidak menentu.  Saya hanya berhenti untuk makan dan solat, selebihnya mengadap laptop.  Saya perlu selesaikan tesis sebelum waktu cuti belajar tiba ke penghujungnya.  Ketika itu, peranan dan sokongan suami sangat penting dan dialah yang banyak menguruskan hal rumahtangga.

Saya bukanlah supermom yang menyediakan segala hidangan di atas meja makan ketika itu.  Tiada lagi santai-santai makan di luar, di dalam minda saya hanyalah ingin menghabiskan penulisan dan menghabiskan apa yang dimulakan.  Tiba masanya untuk put a full stop to this journey

Oh ya, cari tempat yang sesuai untuk menulis.  Lain orang lain stailnya.  Stail saya agak kontra dengan orang lain, di mana saya banyak menghabiskan masa menulis di rumah dengan tv dipasang! :D :D Otak saya pantas berfikir dengan adanya suara latar walaupun bukan saya yang menonton tv tersebut.  Suasana sunyi lebih menjadikan saya cepat mengantuk.  Sehingga kini, jika menulis atau buat apa saja, saya perlukan 'suara latar' untuk lebih produktif.  Maka, kenalpasti stail diri sendiri.

D. Sampingan

1. Amalan sunat

Phd adalah lambang kegigihan, kesungguhan, kesabaran dan ketabahan pelajar yang melaluinya. Ianya tidak akan sunyi dari ujian dan cabaran.  Mohonlah kekuatan dari Tuan Punya ujian tersebut (Allah) supaya kita cekal untuk mengharunginya dengan menambahkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, sedekah dan beristiqamahlah dengannya.

2. Bantu orang

Allah memudahkan pengajian ini (biarpun ada ujiannya) sedikit sebanyak dari doa-doa para asnaf yang disantuni sewaktu mengikut konvoi masuk kampung anjuran ngo wargakilang yang saya turut serta sejak September 2010.

Terima kasih Tuan Syazwan, pensyarah UiTM Pulau Pinang (ketika itu pengerusi kelab pensyarah) kerana memperkenalkan program kemasyarakatan ini kepada pensyarah UiTM Pulau Pinang. Alhamdulillah, sehingga kini, ianya telah menjadi aktiviti tetap keluarga saya untuk mendidik hati supaya bersyukur dengan apa yang ada.

kembara pertama masuk kampung bersama ngo Wargakilang (link)

Tumpat, Kelantan - Jun 2015
Pengkalan Hulu - Mei 2014
Ada ketika, kedamaian suasana desa dengan pemandangan yang indah memberikan ketenangan dan saya rasa refresh sebaik kembali dari konvoi itu.

Yan, Kedah - Mei 2015
Rompin - Mac 2014
Pengkalan Hulu - Mei 2014

Pengkalan Hulu - Mei 2014

Ada ketika, melihat ujian mereka yang lebih berat, apalah sangat dikira ujian yang sedikit itu yang saya hadapi.  Saya tidak diuji dengan kehilangan kediaman, pekerjaan, anggota badan :( Inilah penyuntik semangat untuk mengharungi cabaran sewaktu pengajian :(

Konvoi pasca banjir - Kemaman, Disember 2013
Kunjungan pasca banjir Kuala Krai - Jan 2015

Saya sangat suka bermusafir!  Waktu bermusafir adalah waktu yang sangat mustajab doa.  Ketika bermusafir itulah saya kerap berdoa, "Ya Allah, jika ada sedikit kebaikan dari kerja-kerja buatku untuk menyantuni asnaf-asnaf ini, ampunilah dosaku, dosa ahli keluargaku, dosa sahabat-sahabatku dan seluruh muslimin muslimat.  Permudahkanlah urusan PhDku ya Allah, permudahkanlah urusan kehidupanku, permudahkanlah urusan sahabat-sahabatku ya Allah"...

3. Doa dari mereka

Saban waktu, urusan kita dimudahkan adalah hasil dari doa-doa mereka di sekeliling kita.  Raihlah doa mereka, ibubapa, keluarga, terutamanya pasangan sendiri.  InshaaAllah jika pasangan redha dengan kita, saya yakin, pengajian kita sentiasa dipermudahkan.  Jika adapun kesulitan yang mendatang, pasti ada jalan keluarnya.

4. Carilah masa untuk berehat

Ada saatnya di mana saya tidak dapat lagi menumpukan perhatian kepada pengajian atau penulisan (writers block) atau dalam erti kata lain, PENAT!  Ketika itulah saya membuat keputusan spontan, menempah mana-mana homestay dan pergi bercuti bersama keluarga! :D :D  Ianya penting untuk merehatkan otak yang dibebani dengan fakta dan data.  Berehatlah sebentar dan selepas balik, InshaaAllah, kita akan kembali segar dan bersemangat.

Kellies Castle - Ogos 2013
Cameron Highlands - Mei 2014
Muzium Kota Kayang, Perlis - Feb 2015
Satun, Thailand - Sept 2015

Ada juga ketika menghadiri persidangan merangkap percutian :) :)

dalam perjalanan ke Melaka - Disember 2014

Muzium Topkapi, Istanbul - Jun 2015

5. Ikon motivasi

Ada yang bertanya, "Kenapa hendak buat PhD, sedangkan ramai yang tidak habis (tamatkan PhD)?" Ini jawapan saya, "Kenapa nak lihat kepada yang tidak habis sedangkan ramai lagi yang berjaya mendapat PhD mereka".  Lihatlah kepada kejayaan orang lain untuk menjadi motivasi diri.

Tanpa mereka sedari, ikon berdua (berjubah konvo) inilah yang menjadi pemangkin untuk saya menamatkan PhD terutamanya yang terpaling kiri, rakan sejabatan yang sentiasa bermotivasi dan mempunyai sasaran tertentu di dalam hidupnya.

ikon peribadi
Dan seorang lagi ikon 'senyap' yang menjadi motivasi kepada saya tanpa beliau sendiri sedari adalah Dr. Mohd Adib (pensyarah USM) yang juga rakan sekolah rendah yang mendahului saya memperolehi PhDnya.

Ketika saya berkonvo di peringkat sarjana, beliau juga berkonvo di majlis yang sama tetapi untuk PhD beliau.  Ketika itu, saya menanam azam yang satu hari nanti, saya juga bakal naik ke pentas dengan topi bulat tersebut, InshaaAllah.

--------------------------------------

Alhamdulillah...inilah kisah perjalanan PhD saya yang tidak kurang likunya.  Semoga ianya ada manfaat kepada yang memerlukannya serta tulisan ini sedikit sebanyak menjadi jariah saya ketika saya sudah tiada lagi di dunia ini.  والسلم

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin