Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Thursday, November 4

Musibah... Ujian...

Setiap orang ada ujiannya masing-masing.  Berat atau ringannya ujian tersebut bergantung kepada setiap individu.  Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan sms dari sahabat saya (sini dan sini) memberitahu suami yang baru dinikahinya tidak sampai setahun telah diserang angin ahmar.  Ya Allah, beratnya dugaan bagi sahabat saya ini.  Sebelum ini, ibunya juga telah diserang penyakit yang sama, dan beliau jugalah yang bersabar melayan kerenah ibunya selama 5 tahun.  Kini, ketika mengecapi saat manis berumahtangga serta mengandungkan anak yang pertama, dia ditimpa lagi dengan ujian ini.  Hanya perkataan "sabar" mengiringi balasan demi balasan sms yang dititipkan kepada beliau.  Mujurlah beliau kuat berpegang kepada ujian dan Rahmat di sebalik ujian itu.

Jiran-jiran terdekat Kedah dan Perlis ditimpa musibah banjir, begitu juga di Kelantan.  Keluarga mertua tidak terkecuali.  Kali ini lebih buruk dari banjir yang pernah berlaku pada Disember 2005.  Kali ini, terpaksa mereka berpindah ke tempat lain sementara menanti surutnya banjir sebelum dapat kembali semula ke rumah.  

Abang/kakak kami, UiTM Perlis juga terjejas dengan banjir ini dan misi bantuan oleh sukarelawan akan dihantar secepat mungkin untuk meringankan beban mereka.  Kasihan pelajar-pelajar yang masih lagi menduduki peperiksaan akhir di sana.  

Gambar-gambar sekitar banjir pada Disember 2005.


Hanya 4WD serta kenderaan berat dibenarkan melalui jalan ini




Ketika ini, tidak mengenali satu sama lain, tetapi saling bantu-membantu, suami menumpang pickup orang


rumah mertua yang ditenggelami air separas betis


kawasan jiran

Semoga mereka yang terlibat dapat bersabar dengan musibah @ ujian yang diterima serta moga Allah mengurniakan/menggantikan sesuatu yang lebih baik dari ujian ini.  

Sesuatu yang perlu kita renungi akan perlunya ada sistem perparitan yang lebih cekap supaya mangsa-mangsa ini tidak mengalami nasib yang sama di masa akan datang.  Kawasan ditebus guna untuk projek perumahan, bangunan, jalanraya dan sebagainya, akan tetapi, sistem perparitan masih di tahap lama, menjadikan air tidak dapat bergerak ke mana-mana melainkan melimpahi kawasan perumahan.

Tuesday, October 5

"Kalau tak mau bagi kat orang jelah..."


Rancangan "Zuriat Kita" di saluran Astro ada membicarakan tentang anak angkat.  Ada juga terselit kisah tentang pembuangan bayi yang berlaku di negara kita ini.


"Iskh orang ni, kalau tak mau, bagi kat orang jelah.  Nak buang-buang buat apa...", adik mengomel sendirian.

Terkejut saya! Tidak disangka-sangka adik akan memberi komen sedemikian.

Betul kata adik.

Bimbangnya dengan cabaran untuk membesarkan anak-anak di zaman sekarang ini.  Banyak maklumat yang tidak patut diperolehi dapat dicapai dengan jaringan internet.  Apatah lagi membesarkan anak perempuan.  

"Ya Allah, kurniakanlah zuriat penyejuk pandangan mata.  Peliharalah zuriat kami dan zuriat seluruh kaum muslimin dan muslimat, tetapkan keimanan mereka serta teguhkan mereka berada di jalanMu Ya Allah".
 

Saturday, October 2

Bersuci

Ketika berjalan di kaki lima deretan kedai, ternampak seorang ibu muda bersama anak lelaki di dalam lingkungan 1 - 2 tahun.  Saya memerhati.  Si ibu melondehkan seluar si anak, dan si anak kecil berdiri mengadap longkang deretan kedai.  Kemudian si ibu memakaikan semula seluar kepada si anak dan kemudian memasuki kereta.  Ketika lain pula, ketika sedang menanti kakak pulang dari sekolah, saya memerhati dari tingkap kereta.  Si anak kecil sedang melepaskan hajat di tepi longkang berhampiran sekolah.  Selesai, si ibu memakaikan semula seluar kepada si anak. 

Beberapa kali juga terpandang 'peristiwa' yang sama di merata lokasi.  Kebanyakan yang saya lihat melibatkan si ibu melayu.  Bagaimana agaknya pemahaman 'bersuci' bagi mereka ini?  Di sepanjang pemerhatian saya, Malaysia ini tidak kekurangan tempat untuk melepaskan hajat.  Stesyen minyak ada, surau dan masjid merata, boleh saja kita menggunakan tandas di situ.  Melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana bersuci itu kunci kepada segala ibadah. 

Monday, September 20

Zaman Teknologi


Sekarang ini, KL - Penang tidak lagi sejauh mana.  Apatah lagi USA - Malaysia atau UK - Malaysia, terasa semakin dekat dan dekat dengan adanya teknologi, dunia ibarat tanpa sempadan.  Jika 15 tahun dahulu, adanya teknologi begini, tidaklah susah benar saya ingin menghubungi sanak-saudara di Malaysia. 


Anak-anak sekarang ini sangat bertuah.  Ketika saya berkursus di Melaka tempohari, saya dapat berwebcam dengan suami dan anak-anak.  Baru-baru ini, adik dan kakak dapat berbual secara live dengan pak cik mereka yang berada di KL dan juga bersama tok mereka.  Gembira benar mereka dapat berbual melalui komputer.  Bagusnya teknologi dapat mendekatkan yang jauh, tetapi jangan sampai ianya disalahgunakan untuk tujuan yang salah pula.  

Friday, September 17

Uruskan kewangan dengan bijak


Alhamdulillah, sahabat saya ini telah berjaya melepasi halangan kewangan yang membelenggu dirinya sebelum ini dan berjaya menghasilkan buku ini.  Pengurusan kewangan yang dititipkan di dalam 9 langkah  ini amat berguna sekali. 

Antara titipan buku ini, ia mengajak pembaca untuk mengenalpasti apa punca masalah kewangan sebenarnya yang membelenggu diri, membuat perancangan kewangan dengan mencatatkan gaji bersih dan bayaran/hutang tetap tiap-tiap bulan dan juga pembelian barangan rumah/dapur.  Menurut beliau, perancangan kewangan keluarga perlu dikongsi bersama dengan pasangan supaya kewangan dapat dikendalikan dengan secara berhemah.  Antara kemudahan kaunseling yang disediakan dapat dimanfaatkan ialah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang dapat memberikan khidmat runding pengurusan kewangan.

Antara tips yang saya sangat-sangat setuju adalah pembelian secara tunai berbanding ansuran (kecuali rumah dan kereta).  Saya juga bebas dari masalah tanggungan hutang yang tidak perlu ini.  Jika berkeinginan, simpan saja duit, apabila cukup, baru beli.  Tidak perlu membayar ansuran di mana bayaran yang dibuat hampir dua kali ganda dari bayaran secara tunai. 

Ada lagi tips di dalam buku setebal 95 mukasurat ini.  Semoga ianya memberi manfaat kepada sesiapa yang memerlukannya.

Friday, April 16

Penyusuan Susu Ibu

Baru-baru ini saya berkesempatan menyertai ceramah "Penyusuan Susu Ibu menurut Perspektif Islam" yang dianjurkan oleh CITU, UiTM dengan kerjasama Hospital Seberang Jaya dan CAP Pulau Pinang.  Ceramah disampaikan oleh Cikgu Roslan Ali, dari Bahagian Pendidikan, CAP Pulau Pinang.  Beliau mempunyai pengalaman luas di dalam penyusuan susu ibu kerana memberi sokongan kepada isterinya untuk kelapan-lapan anaknya menyusu secara eksklusif dari 2 - 3 tahun. 

Biarpun saya bukan orang yang selayaknya untuk membicarakan tentang penyusuan susu ibu secara eksklusif, namun saya ingin menitipkan sedikit sebanyak ilmu yang diperolehi dari ceramah tersebut.  Mengimbaskan kembali sejarah penyusuan anak-anak saya, mereka hanya berjaya disusukan dengan susu ibu selama 6 bulan saja.  Pemerahan susu tidak mengikut jam yang tetap dek kerana jadual kuliah yang tidak menentu turut menyumbang kepada kekurangan susu.  Tetapi sekurang-kurangnya, saya telah berjaya menyusukan untuk tempoh minimum tersebut.


Cikgu Roslan turut mengupas beberapa ayat Al-Quran tentang penyusuan susu ibu. 

Hormon yang terlibat di dalam penghasilan susu ibu, Oxytocin dan Prolactin

Khasiat susu ibu





Antara cara untuk membanyakkan susu ibu:

1. Banyakkan minum air suam
2. Makan sayur tauhu bercampur kucai
3. Minum jus pegaga

Susu ibu dapat bertahan 3 - 6 bulan jika disimpan di bahagian sejuk beku.  Cara pemerahan dan penyimpanan perlulah betul supaya susu yang disimpan dapat bertahan untuk diberikan kepada si kecil. 

Sedikit ilmu yang dapat dikongsi bersama walaupun terdapat website lain yang boleh dilayari berkaitan dengan penyusuan susu ibu.

Tuesday, March 9

Jom Menderma...


UiTM Pulau Pinang sedang menjalankan kempen menderma darah yang bertemakan 1StafPelajar 1Darah 1Nyawa 1Malaysia.  Nampaknya ia mendapat sambutan yang agak menggalakkan setiap kali kempen ini diadakan.


Teringat kembali ketika zaman saya menjadi pelajar dahulu.  Ketika kolej kediaman mengadakan kempen menderma darah, dengan semangat yang berkobar-kobar saya bersama beberapa orang rakan ingin turut serta.  Ketika berada di hadapan jururawat yang bertugas, saya ditanya berat badan dan tekanan darah diambil.  Keputusannya?  Saya tidak dibenarkan untuk menderma darah kerana berat tidak mencecah berat yang sepatutnya serta tekanan darah rendah. Jururawat itu sambil bergurau menyuruh saya makan lebih banyak untuk menaikkan berat badan saya yang di bawah paras minimum (underweight).

Penghujung tahun lepas, saya terpaksa menjalani ujian darah untuk memastikan saya tidak mengidap penyakit tiroid.  Hanya satu tabung uji  darah diambil, saya merasa seperti "melayang" di awang-awangan.  Ketika itu tekanan darah saya adalah di paras normal dan juga berat adalah ideal.  Bila agaknya saya boleh menderma darah?

Thursday, February 25

Sikap!

Waktu kejadian : Pagi

Ops Sikap yang ke-21 baru saja berlalu.  Menurut laporan yang dikeluarkan, "sikap" masih menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.  

Lima hari seminggu melalui jalan ini untuk ke tempat kerja menyaksikan sikap sesetengah pengguna jalanraya yang "mementing"kan diri sendiri.  Perjalanan yang sepatutnya tiada halangan menjadi agak sesak dengan sikap pemandu yang menggunakan lorong kecemasan untuk memecut laju ke hadapan.  Di hadapan sana ada susur keluar yang akan bercantum dengan jalan utama, dan sudah tentu, kereta-kereta yang menyusup di sebelah kiri tadi akan "menyelit" pula ke laluan utama.  Akibatnya, inilah yang terjadi!







Jangan lupa, anak-anak memerhatikan tingkah laku si ibu ayah yang memandu kereta.  Tidak hairanlah jika  nanti pemandu-pemandu muda juga begitu gopoh ketika di jalanraya natijah dari pendidikan tidak rasmi yang ditunjukkan oleh ibu ayah mereka.
(teringat iklan "jangan memotong barisan" oleh kanak-kanak)

Wednesday, November 25

Mari Membaca (2)



Buku ini diperolehi dengan harga RM35.00.  Buku setebal 611 mukasurat ini mengandungi 281 masalah dalam kehidupan manusia yang tersusun di dalam topik-topik yang ringkas.  Karya asal Dr. 'Ayidh bin 'Abdullah Al-Qarni ini yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia mengandungi himpunan ayat-ayat Qur'an yang bersesuaian dengan situasi kesedihan serta bait-bait serta rangkap-rangkap syair Arab yang menyentuh jiwa.

Tidak dinafikan ketika saya ditimpa masalah, buku ini dirujuk dengan harapan dapat menyejukkan hati yang tengah berduka.  Ternyata masalah yang menimpa tidaklah seberat mana berbanding dengan orang lain.  Antara bait syair yang saya gemari adalah,
"Aku memohon kepadaMu (ya Allah) agar aku selalu boleh bersikap sederhana, baik ketika marah mahupun senang" 

Ketika dilanda masalah, ingatlah peringatan mesra dari Allah,

 "Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

Thursday, November 19

Saf




Baru-baru ini, kami singgah untuk bersolat maghrib di sebuah masjid.  Ketika selesai berwuduk, kedengaran imam sudah mengangkat takbiratul ihram.  Masbuq sudah tentu.  Sewaktu melangkah ke ruang solat  wanita melalui pintu di sebelah kiri, saya terkedu melihat suasana di dalam ruang solat tersebut.  Nun dihujung sebelah kanan saf, kelihatan seorang jemaah wanita di sana.  Di kiri sekali saf kelihatan beberapa orang jemaah wanita, juga sedang mengikut imam.  Di tengah saf juga ada seorang jemaah wanita.  Sambil mengenakan telekong, saya terdiam seketika. 

Mengapa jadi begini?  Di mana permulaan safnya?

Hati berkata-kata.  Biarpun dimana bermulanya saf, kenapa tidak disambung saja saf yang sudah  dibina?  Kenapa terdapat saf yang terputus 3 begitu?  

Di antara jemaah kiri dan tengah, terdapat 3 kekosongan ruang yang boleh diisi.  Ketika jemaah lain  yang baru tiba mula mengisi ruang tersebut, saya mencelah di sisi mereka untuk menutup rongga saf yang dibina. 


Wednesday, November 11

Tentang Nafkah

-- ingin berkongsi dengan rakan-rakan petikan dari blog Prof. Muhd Kamil


Pandangan Nisah Haron

Salam Prof dan para pembaca yang budiman,

Terlanjur Prof sudah menyentuh isu ini, izinkan saya ingin menambah. Dengan sedikit latar undang-undang yang pernah saya peroleh dan juga pengalaman menjadi peguam syarie yang tak berapa lama (8 tahun), saya banyak kali berhadapan dengan situasi begini dengan anak guam.

Isu isteri bekerja, maka suami tak perlu bayar nafkah sudah lama berlaku. Ramai isteri yang redha dan mengambil pendekatan seperti Puan Eda di atas. Benar, isteri boleh bekerja apabila suami izinkan. Tetapi, pendapatan isteri itu khusus untuk dirinya (suami tak boleh ‘pau’ gaji isteri).

Namun, itu tidak menggugurkan tanggungjawab suami daripada memberi nafkah kepada isterinya. Walaupun suami sudah beli barang-barang dapur dan keperluan rumah, itu masih lagi bukan nafkah diri.
Memanglah, adakalanya rasa serba salah hendak ‘meminta’ daripada suami, apatah lagi hendak menyatakan bahawa nafkah diri itu wajib ke atas suami. Suami akan guna alasan, “awak tu kan sudah bekerja” dan “barang keperluan dapur/rumah semua saya yang bayar”. Suami akan terus beralasan lagi bahawa ansuran rumah, kereta dan sebagainya juga dia yang bayar (misalnya).

Hukum tetap hukum. Nafkah untuk isteri tetaplah hukum juga. Oleh itu, isteri boleh bantu menggugurkan tanggungjawab suami itu (kalau tidak, nanti suami berdosa), dengan mengambil, contohnya, RM50 dan katalah, “bang, ini saya ambil buat nafkah bulan ni. nak beli lipstick” (contoh saja)

Ertinya, boleh ambil sedikit daripada wangnya – buat syarat. Lalu, tanggungjawab suami untuk beri nafkah pada bulan itu gugur.

Ada hadis yang menyebut (saya tak ingat matannya dan nama sahabat). Apabila wanita itu mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya yang kedekut, Rasulullah bersabda, ambillah jumlah yang perlu untuk nafkah diri dan juga untuk anak daripada harta suaminya.

Para isteri pula, usahlah minta melebihi daripada kemampuan suami. Kalau suami bergaji kecil, mungkin boleh ambil RM20, nak beli buku (contohnya). Tapi, buku itu haruslah untuk dirinya. Bukan untuk orang lain. Bukan untuk beli barang untuk suami semula. (kalau beli, dan kemudian niat hadiah kepada suami, itu lain cerita).
Wallahu a’lam.


Sunday, October 18

توليسن جاوي

توليسن جاوي سماکين ترڤيڠݢير. باݢايمانا جک ساي منوليس د دالم بلوݢ اين د دالم توليسن جاوي؟ ساي جوݢ سوده لاما تيدق ممباچ دان منوليس د دالم حروف جاوي. بهاس القرءان تيدق سام دڠن توليسن جاوي کران ترداڤت حروف-حروف ترتنتو يڠ تيدق ترداڤت د دالم بهاس عرب تتاڤي اد د دالم توليسن جاوي، چونتوهڽ حروف ڤ، ڠ دان ݢ.

ماريله کيت سام-سام ممڤرکاسکن کمبالي توليسن جاوي.

Thursday, October 8

Tiada sesuatu yang Mustahil

Tiada sesuatu yang mustahil berlaku dengan izin Allah. Kejadian sebegini telah berlaku di beberapa tempat.

Ketika rakan memberitahu kejadian yang berlaku di sebuah rumah di taman perumahan yang berjiran dengan UiTM Jumaaat lepas, tidak semena-mena bulu roma saya berdiri tegak. Bukan takut, bukan seram, tetapi...Subhanallah.. ini semua kuasa Allah.

Maka berpusu-pusulah manusia dari segenap pelusuk membanjiri rumah itu untuk melihat sendiri kejadian "aneh" itu.

Saya sengaja "mencuit" suami, saya beritakan tentang kejadian ini dan mencadangkan suami supaya pergi melihatnya (sekadar ingin melihat reaksinya, padahal, saya sudah tahu jawapannya hehehe). Beliau lebih suka melihat kejadian ini dari sudut yang berlainan, apakah maksud tersirat di sebalik kejadian ini?







Gambar-gambar ini diperolehi dari emel dari seorang rakan di UiTM.

Sunday, September 20

Kemalangan


Semalam, sewaktu dalam perjalanan ke rumah mak, terlihat satu kemalangan yang melibatkan dua buah kereta. Cepat-cepat kamera dikeluarkan untuk merakamkan detik itu. Semoga tiada siapa yang cedera atau kehilangan nyawa.

Rakan-rakan yang memandu pulang ke kampung, berhati-hati ya. Statistik kemalangan maut nampaknya semakin meningkat menjelangnya hari perayaan terutamanya AidilFitri. Semoga kita sentiasa berhemah di jalanraya, bersabarlah, janganlah tarbiah sebulan di bulan Ramadhan hilang begitu saja apabila berada di hadapan stering kereta. Janganlah memotong barisan kerana semua ingin sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Selamat Hari Raya, berhati-hati di Jalanraya!

Tuesday, September 8

Al-Bukhary

Saya ingin kaya seperti Syed Al-Bukhary. Hehehe. Jangan salah anggap. Kayanya tokoh ini dikongsi bersama dengan rakyat marhain yang lain. Saya terpegun melihat yayasan yang dibina di Alor Setar sewaktu suami singgah untuk bersolat asar di sana. Saya mengambil kesempatan ber"siar-siar" di sekitar perkarangan masjid Al-Bukhary yang menyejukkan pemandangan dengan pohon-pohon yang merimbun.

Universiti juga ada?

Taman Herba - senarai pengubatan dengan herba-herba

Bunga melati

Pusat rawatan AlBukhary

Rumah singgahan AlBukhary

Anak-anak berkejaran di Taman Herba

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah (ilmu) dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari).

InsyaAllah, semoga kerjaya saya melayakkan saya berada di dalam kelompok yang kedua. Bila agaknya boleh termasuk di dalam kelompok yang pertama?....

Thursday, July 30

Topeng


Memandangkan keadaan wabak yang semakin menular di sekitar Seberang Perai, sekolah kakak, SKPJ telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta ibu-bapa membekalkan anak-anak dengan topeng muka untuk ke sekolah. Kita hanya berikhtiar, sudahnya bertawakkal kepada Allah agar dihindari wabak yang semakin merebak ini. Jika rajin, klik-kliklah ke sini :

Falsafah Islam di dalam Menghadapi Penyakit
Swine Flu : Senarai Perlu Faham dan Buat


Tuesday, July 28

Doa Wabak

Ketika penularan H1N1 yang semakin meninggi bilangan kesnya, ustaz telah membekalkan kami dengan doa ketika penularan wabak. Semoga dapat diamalkan dan mohon dari Allah dijauhkan dari bencana ini (klik untuk besarkan imej doa).

Saturday, July 18

Curi - 2

Kejadian pecah rumah berlaku di mana-mana. Saya juga hampir-hampir menjadi mangsa kes ini. Saya tidak ingat tarikh sebenar tetapi ianya berkemungkinan penghujung tahun 2002 atau awal 2003. Kakak belum lagi berusia setahun. Ketika itu kami sekeluarga menyewa di sebuah rumah teres setingkat.

Pada malam itu suami bekerja syif malam. Lampu dapur sentiasa dibiarkan terpasang ketika tidur. Sekitar jam 3, seperti kebiasaan, kakak akan bangun untuk menyusu. Seperti biasa, saya akan ke dapur untuk membancuh susu kakak. Sebaik tiba di dapur, saya terlihat tangan, melalui tingkat nako yang telah dikopak, sedang mencapai tombol pintu belakang yang tidak dipasang grill. Di dalam keadaan yang amat panik, terus saya menyergah, "Hoi!" dengan suara yang kuat. Sebaik mendengar suara saya, mereka berdua terus lari. Dengan tangan yang menggigil yang teramat sangat, saya dapat mengunci pintu dan menutup tingkap dan dengan doa yang tidak putus-putus agar pencuri tersebut benar-benar sudah tiada. Ya Allah, jantung ini, terasa bagai hendak pecah dan badan terus-terusan menggeletar. Terus telefon dicapai dan nombor suami didail untuk memberitahu kejadian itu. Boleh suami berlawak,

"kenapa tidak katuk (ketuk) tangan itu?"
"nak katuk macammana, tengah panik, terus sergah je lah"

Alhamdulillah, ditakdirkan kejadiannya berlaku ketika saya terbangun untuk menyediakan susu kakak. Jika tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Selepas itu mata langsung tidak dapat dilelapkan. Saya memasang telinga untuk mendengar bunyi-bunyi yang luar biasa.

Keesokan hari, saya mendapat cerita, rumah jiran sebelah juga telah dimasuki pencuri tersebut dan berjaya mendapat sebuah telefon bimbit. Saya agak perbuatan ini dilakukan oleh remaja berdasarkan tangan dan jersi yang dipakai oleh pemilik tangan tersebut.

Selepas beberapa kejadian pecah rumah itu, taman perumahan yang kami diami itu mengadakan rondaan rukun tetangga yang disertai oleh penghuni-penghuni taman itu. Rondaan dibuat di dalam beberapa syif supaya setiap penghuni yang membuat rondaan turut mendapat rehat untuk bekerja keesokan harinya.

Dan selepas kejadian itu, tuan rumah juga memasang grill di bahagian belakang rumah yang kami sewa. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana melindungi kami sekeluarga dari bencana ini. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi fobia apabila suami bekerja syif malam. Ketika suami bekerja malam, mak akan datang untuk temankan kami berdua dan pulang keesokan harinya.

Selepas beberapa tahun mendiami rumah lain, sekali-sekala saya tetap terjaga di tengah malam apabila mendengar bunyi-bunyi yang agak aneh. Saya juga akan mengintai-intai dari dalam rumah untuk melihat keadaan di luar. Dan sekarang, saya semakin tenang kerana suami tidak lagi perlu bekerja syif malam. Sebenarnya, saya ini, di dalam berani, ada takutnya hehehe.

Friday, July 17

Curi

Petang tadi di kampus, Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) menganjur bengkel pencegahan jenayah. Pembimbing Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) menyampaikan ceramah berkaitan jenayah serta saranan-saranan untuk mengelakkan jenayah seperti ragut dan rogol bagi perempuan.




Demonstrasi bagaimana untuk mempertahankan diri turut dipamerkan kepada peserta sebagai persediaan untuk menghadapi saat cemas itu.

Ketika menghadiri bengkel ini, teringat kisah yang saya alami sekitar 1996 - 1997 (tidak ingat tarikh sebenar). Peristiwa yang sudah berlaku lebih 10 tahun itu masih segar di ingatan saya. Satu persatu saya ceritakan pada rakan sekerja. Ketika itu saya belum berkereta dan pengangkutan utama saya adalah bas. Saya terpaksa menukar 2 buah bas untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Ketika sampai di perkarangan Pertama Kompleks ketika balik kerja, sudah masuk waktu maghrib. Saya putuskan untuk bersolat maghrib dahulu di surau di atas Pertama Kompleks. Handbag saya dimasukkan ke dalam beg kerja saya dan saya berlalu untuk mengambil wuduk di luar dari ruang solat. Sewaktu menunaikan solat, beg diletakkan di tepi. Ketika bersolat, entah kenapa, hati menjadi berdebar-debar. Selesai solat, saya hampiri beg dan terlihat zip beg kerja saya seperti dibuka orang. Darah menyirap ke muka saya. Hati semakin berdebar. Ya Allah! Mana handbag saya? Airmata tidak dapat ditahan-tahan. Bukan menangisi kehilangan duit atau sebagainya, tetapi memikirkan bagaimana saya hendak pulang ke rumah. Hari sudah malam. Pada hari itu, kakak akan pulang ke kampung mertua bersama dengan abang ipar. Ya Allah! semakin laju airmata mengalir. Ada beberapa adik/kakak (saya tidak dapat lagi tumpukan perhatian) yang melihat keadaan saya bersimpati. Mereka menghulurkan not RM10 kepada saya tetapi saya menolak dan hanya menerima beberapa not sebagai tambang bas. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka yang saya tidak kenali (dan tidak sempat bertanya nama kerana buntu). Sehingga kini apabila terkenangkan peristiwa ini, airmata pasti mengalir memikirkan bagaimana kerdilnya saya ketika itu, seperti pengemis! Mungkin ketika itu saya terlalu naive dan tidak berperasangka yang kejadian seperti itu akan berlaku di sebuah surau! Ternyata saya silap!

Sewaktu menghampiri pondok telefon awam, telefon siling tidak dapat digunakan. Bagaimana jika kakak sudah pulang ke kampung mertuanya? Ketika itu, penggunaan telefon bimbit masih belum begitu meluas. Saya tidak punya sesiapa di KL. Sedih sangat, teramat sedih! Saya tidak peduli lagi orang yang melihat atau berpandangan pelik pada saya. Abang di sebelah yang kebetulan menggunakan telefon kad bertanyakan saya, dengan bercucuran airmata, saya menceritakan hal yang sebenarnya. Abang yang baik hati itu membenarkan saya menggunakan kad telefonnya untuk menghubungi kakak. Sambil mendail, hati berdoa agar kakak masih ada di rumah.

"Hello", suara kakak kedengaran, makin bercucuran airmata saya. Alhamdulillah....
"Kak...beg kena curi"
"Di mana?"
"Pertama Kompleks"
"Nanti akak sampai..tunggu tau!"

Abang yang baik hati itu menunggu saya selesai menggunakannya kadnya sambil bertanyakan samada saya OK atau tidak. Saya beritahunya saya sudah hubungi kakak dan mereka akan datang. Seorang lagi insan yang berhati mulia yang ditemui ditengah-tengah ribuan manusia di KL. Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Ternampak kelibat kakak dan abang ipar, airmata semakin deras mengalir. Dengan esakan yang masih berbaki, saya ceritakan kejadian yang baru berlaku kepada mereka. Laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi, menurut pegawai polis berkenaan, sudah banyak kes yang berlaku di surau tersebut.

Saya pulang ke rumah dengan hati yang berkecamuk. Ya Allah, ada juga manusia yang menggunakan tempat ibadat untuk melakukan perbuatan mungkar.

Pengajaran untuk saya supaya tidak lagi membiarkan barang berharga berada di luar pengamatan saya. Sehingga kini, ketika bersolat di mana-mana surau, handbag sentiasa di dalam penglihatan saya. Saya juga sentiasa berpesan kepada sesiapa yang leka meninggalkan handbag mereka untuk mengambil wuduk supaya membawanya bersama jika tiada orang/teman untuk memerhatikannya. Berhati-hatilah, terdapat "mata" yang sentiasa memerhatikan kelekaan anda untuk mengambil kesempatan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin